Program Vaksinasi, Negara Perlukan Strategi Terpadu
KERAJAAN telah mula melaksanakan fasa kedua vaksinasi COVID-19. Walau bagaimanapun ramai yang mula mempersoalkan kenapa proses vaksinasi nasional sangat perlahan.
Rakyat sebenarnya memahami bahawa bekalan yang tidak stabil adalah penyebab perlahannya proses vaksinasi nasional ini.
Di sinilah penjelasan kerajaan sangat diperlukan. Maklumkan jadual sebenar perolehan vaksin agar jangka waktu yang lebih realistik dapat meredakan segala kegusaran rakyat.
Berkaitan pendaftaran vaksin, sangat perlu ia digiatkan. Dasar “Lindung Diri, Lindung Semua” amatlah penting.
Kita tidak boleh memaksa rakyat untuk divaksinasi. Namun kita boleh meyakinkan mereka melakukannya dengan sukarela.
Kepada warga asing pula, ramai tidak mengetahui cara untuk mendaftar sebagai penerima, terutama di kalangan mereka yang tidak mempunyai dokumen sah. Meyakinkan mereka bukan tugas mudah.
Setelah lebih setahun kita berhadapan dengan pandemik ini, Malaysia telah menanganinya dengan baik walaupun banyak lagi ruang untuk penambahbaikan. Apatah lagi kita tidak pernah berhadapan dengan masalah serumit begini.
Semua episod ini mewajarkan Malaysia mempunyai strategi klinikal, vaksinasi, mitigasi dan ‘prevention’ yang benar-benar terpadu.
Pembangunan vaksin umpamanya, adalah antara kebitaraan penting yang Malaysia mesti punyai. Kita tidak boleh selamanya menjadi negara pengguna atau medan ujian klinikal semata-mata.
Pandemik adalah ancaman keselamatan baru bukan tradisional yang merbahaya.
Pelaburan dalam sains serta penyelidikan berkaitan vaksin, adalah suatu kemestian strategik.
Benar kita tidak mempunyai kepakaran waktu ini. Tetapi sains adalah tentang kolaborasi dan perkongsian dalam ekosistem yang produktif.
Menjadi sebahagian dari ekosistem penyelidikan sains termaju rentas disiplin dan geografi ini bukan lagi pilihan buat Malaysia, tetapi suatu kemestian.
Strategi terpadu ini sangat diperlukan kerana pendekatan ‘piecemeal’ dalam menangani persoalan keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan rakyatnya adalah tidak selari dengan kepentingan Malaysia.
Datuk Seri Mohamad Hasan
Timbalan Presiden UMNO