Teraju Kepimpinan Teruji, Ahli Parti Benteng Bertahan – Saarani

IPOH, 7 April – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah melakukan sebaik mungkin untuk mengangkat parti setelah mengalami kekalahan mengejutkan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu.

Jelas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak, Datuk Saarani Mohamad, kepimpinan Ahmad Zahid terbukti apabila beliau satu-satunya individu yang berani memimpin parti di saat yang paling getir buat sejarah UMNO.

“Siapa yang kita pilih kita menghormati dia, kita pertahankan dia, sebab dia adalah orang yang dipilih secara sah oleh perwakilan.

“Sudah tentulah presiden parti yang ada sekarang ini tak kuat macam presiden parti yang sebelum ini. Sebab presiden parti sebelum ini adalah perdana menteri jadi dia ada kekuatan.

“Sekarang dia tidak jadi menteri maka ada kelemahan di situ jadi janganlah kita mengambil kelemahan itu sebagai penyebab untuk kita merendah-rendahkannya apatah lagi kita hendak menjatuhkannya,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Tambah Menteri Besar Perak itu lagi, sekiranya tonggak dalam parti tidak dihormati nescaya akan berlaku perpecahan dalam parti.

“Kerana kita akan ada masa untuk buat pemilihan parti jadi bila tiba masanya terpulanglah pada perwakilan hendak pilih presiden baru atau kekalkan presiden lama.

“Jadi itu paling penting jika kita gagal untuk mengawal diri kita kalau kita sendiri tidak mahu menghormati institusi presiden parti siapa hendak hormat pada kita?

“Manusia ada kelemahan ada kelebihan jangan kita fikir kalau hari ini kita tukar, esok kita akan dapat presiden yang baik,” jelas Saarani. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit