Keputusan PAU 2020 Berdasarkan Suara Pelbagai Peringkat, UMNO Ada Maruah Dan Nilai Diri
KUALA LUMPUR, 2 April – Ketika Persidangan Agung UMNO 2020 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL) di sini pada Sabtu dan Ahad lepas Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendapat mandat sepenuhnya daripada perwakilan serta akar umbi.
Ujarnya, perwakilan dan akar umbi meminta UMNO tarik sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan juga menggesa ahli Parlimen UMNO meletakkan jawatan menteri, timbalan menteri dan pengerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
“Keputusan yang saya lakukan ini adalah berdasarkan suara perwakilan, akar umbi dan ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO.
“UMNO ada maruah dan nilai diri. Kita bukan hamba untuk mereka buli dan ganyang,” tegas Pengerusi Barisan Nasional (BN) dalam satu hantaran di Facebook.
Ulas Ahmad Zahid, beliau mengakui selama ini telah diminta untuk membubarkan UMNO.
“Parti ini sudah berusia 75 tahun dan jasanya buat agama, bangsa dan tanah air tidak ternilai. Kedegilan saya membubarkan UMNO menyebabkan saya kini berdepan laluan yang amat sukar.
“Saya sedar saya antara ahli politik yang berdepan pertuduhan paling banyak di Malaysia. Itu antara harga yang perlu saya bayar sendiri.
“Saya juga tahu, kedegilan itu menyebabkan saya tidak dilantik sebagai menteri. Tetapi, itu bukanlah perjuangan saya,” katanya lagi.
Tambahnya, perjuangan sebenar adalah tentang nasib agama, bangsa dan tanah air yang akan diteruskan.
“Jika menurut perintah bubarkan UMNO, semuanya akan musnah,” ujarnya. – UMNO ONLINE