Syukur PAU 2020 Berlangsung Jayanya, Wanita UMNO Mohon Pengiktirafan Dengan Kuota 30 Peratus

KUALA LUMPUR, 29 Mac – Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad menzahirkan rasa syukur apabila Perhimpunan Agung UMNO 2020 kali ini berlangsung dengan jayanya meskipun ia tertangguh sejak sekian lama kerana wabak covid-19 yang melanda negara.
Katanya, meskipun dalam suasana norma baharu, persidangan tetap berlangsung dengan jayanya dan perwakilan tetap bersemangat membawa obor perjuangan bagi menghadapai PRU-15.

“Untuk Perhimpinan Agung UMNO kali ini, Wanita UMNO telah menyuarakan beberapa perkara dan antaranya adalah diberi sekurang-kurangnya 30 peratus calon Wanita dalam parti semasa PRU-15 nanti selaras dengan usia dan sumbangan Wanita kepada parti keramat ini.

“Peranan Wanita sebagai tulang belakang parti sememangnya tidak boleh dinafikan malah Wanita adalah antara watak penting yang memainkan peranan bagi memastikan sesebuah parti beroleh kemenangan dalam pilihan raya.

“Wanita UMNO melihat kesedaran politik di kalangan wanita hari ini semakin menyerlah berpunca daripada tahap pendidikan yang semakin baik dan memberi akses kepada percambahan maklumat yang lebih banyak serta peranan menentukan kemenangan parti semakin meluas,” katanya dalam kenyataan mengulas berkaitan hal tersebut.

Jelasnya, Wanita UMNO berharap pucuk pimpinan parti harus menghargai ahli wanita yang rata-rata begitu setia tanpa berbelah bahagi kepada parti dan pemerkasaan kepimpinan dalam penglibatan politik dapat memberi kesedaran kepentingan wanita sebagai pengimbang gender dalam pentadbiran dan pembuatan keputusan. Secara tidak langsung jurang gender dapat dikurangkan.

“Keahlian Wanita UMNO kini sudah mencecah lebih sejuta orang. Dengan keahlian yang begitu ramai Wanita kini hanya mempunyai empat wakil saja di Dewan Rakyat, itu pun selepas dua daripada mereka bertindak meninggalkan parti.

“Justeru, Wanita berharap pucuk pimpinan parti mengiktiraf sumbangan dan peranan Wanita dengan mewujudkan kuota 30 peratus calon yang bertanding adalah dari kalangan Wanita.

“Faktor ini akan memberi impak kepada wanita untuk memberi sumbangan yang sewajarnya dalam pentadbiran negara serta dapat memberi keseimbangan dan kestabilan dalam pembangunan negara,” katanya lagi.

Perhimpunan Agung UMNO 2020 yang berlangsung selama dua hari bermula Sabtu dan Ahad dibuat dalam norma baharu memandangkan negara masih lagi dalam keadaan berjaga-jaga terhadap pandemik COVID-19.– UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.