Bimbang DAP Berkuasa, UMNO Sanggup Bekerjasama Dengan Parti ‘Pelompat’ – Ahmad Jazlan
KUALA LUMPUR, 29 Mac – Tujuan UMNO untuk menyokong pembentukan kerajaan Perikatan Nasional (PN) adalah kerana bimbang sekiranya Dap kembali berkuasa, kata Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Kelantan , Datuk Ahmad Jazlan Yaakub.
Jelas beliau, kredit juga patut diberikan kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang bersungguh-sungguh mengarahkan ahli-ahli Parlimen UMNO untuk menyokong kerajaan yang ada pada hari ini.
“Menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) samalah menjatuhkan Dap. Itulah presiden UMNO yang bertanggungjawab.
“Kita berjuang dan sanggup berkorban kerana presiden memikirkan takut Dap kembali berkuasa di dalam negara ini maka kita menolak Dap pada masa ini. Begitu juga di Perak, kalau hendak tubuh kerajaan sudah boleh.
“Apabila berjumpa dengan Yang Dipertuan Agong. Ada juga kumpulan yang membawa suara yang berbeza, suara yang inginkan Tun Dr Mahathir Mohamad terus menjadi perdana menteri, suara yang inginkan Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri serta suara dari UMNO,” katanya dalam perbahasan usul Ucapan Dasar Presiden sempena Perhimpunan Agung UMNO 2020.
Tambah Ketua Umno Bahagian Machang itu lagi, UMNO pada mulanya meminta untuk dibubarkan Parlimen namun perancangan tersebut tidak menjadi.
“Tetapi apabila keputusan tidak cukup nombor maka kita ada kebimbangan. PH kembali dengan satu nombor yang cukup untuk menjadi kerajaan lantas Presiden UMNO meminta ahli Parlimen dan bukan saja ahli Parlimen, tetapi meminta semua seluruh warga UMNO berjiwa besar untuk berkerjasama dengan parti yang ‘kerdil’.
Mengulas lanjut, Ahmad Jazlan berkata parti tersebut dihuni oleh ahli Parlimen ‘pelompat-pelompat’.
“13 kerusi selepas pilihan raya lepas, tinggal 12 selepas di Tanjung Piai dan dengan Dr Mahathir dan tinggal enam.
“Yang jadi ramainya mereka dihuni oleh ‘pelompat-pelompat’. 15 pelompat daripada UMNO, 10 pelompat daripada PKR. Yang mereka ada hanya enam,” katanya. – UMNO Online
Oleh: Nurul Saadah Latib