Ucapan Dasar Presiden Memberi Isyarat Teras Kemaraan UMNO – Reezal

KUALA LUMPUR, 28 Mac – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata terdapat beberapa elemen teras yang wajar dihayati oleh semua pimpinan dan ahli UMNO berdasarkan ucapan dasar Presiden Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bagi Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 pagi tadi.

Menurut Ahli Parlimen Kepala Batas itu, antara yang diberikan tumpuan ialah pertama UMNO perlu terus memahami keresahan dan kerisauan rakyat.

“Kedua, UMNO kekal menjadi tempat rakyat mengadu nasib. DNA UMNO ini perlu terus diperkukuh dan diperkasakan dan ketiga memperkukuh patriotisme ekonomi (economic patriotism).

“Keempat UMNO perlu memimpin dan terakhir kestabilan UMNO membawa kestabilan negara,” katanya dalam satu kenyataan.

Hari ini Perhimpunan Agung UMNO 2020 diadakan di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini.

Jelasnya, lima teras yang difikirkan menjadi nadi penggerak kepada masa hadapan UMNO mesti difahami dalam konteks realiti politik semasa.

“Saya melihat kesinambungan ucapan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO yang diucapkan semalam. Kesinambungan ini cukup penting untuk memberikan gambaran bahawa UMNO berada di landasan pemikiran kepimpinan yang sehaluan.

“Penting untuk apa sahaja yang disebutkan oleh kepimpinan diterima dan diperbahaskan secara terbuka oleh perwakilan dalam PAU kali ini,” tambah Ketua UMNO Bahagian Kepala Batas itu lagi.

Justeru baginya, apa sahaja keputusan parti di dalam PAU kali ini akan memberikan ‘wajah’ dan ‘dinamik’ UMNO di dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang dan tempoh waktu selepasnya.

“Kebijaksanaan perwakilan akan menjadi penentu kepada jalan hadapan yang akan UMNO terokai untuk merealisasikan kemenenangan dalam PRU dan survival UMNO selepasnya,” katanya. – UMNO ONLINE

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit