Rejuvinisasi Parti, Pemuda Perak Syor Tiga Perkara Angkat Kembali UMNO

KUALA LUMPUR, 28 Mac – UMNO perlu diangkat kembali bagi mengambil alih Putrajaya dan yang paling penting adalah mengembalikan hak-hak rakyat.

Demikian tegas perwakilan Pemuda UMNO Negeri Perak, Mohammad Hamidi Baharuddin yang menganggap bahawa kekalahan pada PRU-14 yang lalu telah memberi pengajaran yang sangat berharga sekalipun amat memeritkan.

“Kerana dengan kekalahan inilah, rakyat dapat menilai, hanya UMNO sahaja satu-satunya kerajaan, yang disifatkan berkebajikan,” katanya.

Hamidi yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Lenggong berkata demikian ketika dalam perbahasan usul ucapan dasar Ketua Pemuda UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

Dalam usaha untuk mengembalikan kuasa UMNO, beliau mengesyorkan tiga perkara.

“Syor yang pertama: Pengundi muda jangan dikesampingkan. Ini kerana Penggundi muda yang akan masuk mengundi pada PRU-15 adalah aset yang tidak boleh kita pinggirkan.

“Usaha-usaha mendekati kelompok ini harus dimulai sekarang. Dengan jangkaan lebih 4 Juta pengundi baharu pada PRU15, apa yang perlu kita buat adalah menyantuni pengundi baharu ini jika kita ingin mencapai kemenangan disamping memperkuat ahli-hali parti sendiri.

“Kalau kita bergerak menggunakan kekuatan jentera sepenuhnya dibantu dengan sentimen pengundi yang kecewa pada PRU-14 yang lepas, saya percaya dan terus akan percaya kita akan mampu memperoleh kemenangan yang besar.”

Yang kedua katanya, jangan terpedaya kata-kata yang sedap didengar tetapi membunuh parti kerana ia hanya memanipulasi fikiran sedangkan UMNO memahami realiti sentimen rakyat.

“Rata-rata dalam siri turun padang Pemuda Perak, kami melihat rakyat mahu UMNO kembali memerintah.

“Rakyat di akar umbi baik dari UMNO dan PAS mahu muafakat nasional diperkasakan.”

Sementara syor yang ketiga, jelasnya ialah tawaran kepada rakyat dan pendekatan kita mestilah bersifat wasatiah, mampu dicapai, realistik dan yang paling penting tidak mengulangi kesilapan manifesto bukan kitab suci.

“Tawaran ini harus dibawa dan disebar luas ke seluruh peringkat. Jadikan tawaran ini sebagai tunjang yang tuntas khususnya dalam menghadapi PRU-15 kelak.

“Perlu di ingat hari ini, pelbagai parti yang akan menawarkan pelbagai tawaran, untuk mendapat sokongan daripada rakyat, jadi kita perlu pastikan tawaran UMNO adalah ‘the destiny’.”

Justeru, beliau yakin bahawa Pemuda UMNO menjadi sayap kepada parti, bertanggungjawab untuk merejuvinisasikan parti, untuk terus kekal relevan, khususnya dalam kalangan anak muda. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.