PN Gagal Tunai Janji, PRU Bertukar Proklamasi Darurat – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 27 Mac – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendedahkan bahawa antara perjanjian kerjasama dalam Kerajaan Perikatan Nasional (PN) adalah dengan melantik Perdana Menteri dari kalangan pemimpin parti yang bilangan ahli Parlimennya paling kecil, dengan syarat, Parlimen hendaklah dibubarkan pada Januari 2021 dan Pilihan Raya Umum (PRU) perlu diadakan selewat-lewatnya pada suku pertama tahun 2021 atau pada bulan Mac.

Ujarnya, UMNO akan memutuskan kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dalam pembentukan kerajaan Perikatan Nasional (PN) setelah mendapati parti tersebut gagal menunaikan janji untuk mengadakan PRU bagi mengembalikan mandat kepada rakyat.

Namun, tegasnya, perkara yang diharapkan tidak berlakuknya sebaliknya, berubah kepada proklamasi darurat.

“Agak menghairankan, PRU yang sepatutnya diadakan sebagaimana yang diharapkan oleh rakyat, berubah kepada proklamasi darurat atas alasan untuk memerangi COVID-19, sedangkan kita semua tahu hasrat sebenar. Tidak perlu sembunyikan udang di sebalik batu,” katanya ketika Ucapan Dasar Presiden sempena Perhimpunan Agung UMNO 2020 (PAU 2020).

Tambah Ahmad Zahid, pada awalnya UMNO bersetuju memberi sokongan secara ‘en bloc’ kepada pembentukan kerajaan baharu selepas keruntuhan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) dengan setiap keputusan sewajarnya dirujuk kepada parti dan bukan dilakukan secara individu.

“Begitu juga dalam isu kerjasama dengan PPBM. Perlu saya tegaskan keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) daripada awal pembentukan kerajaan PN ada tempoh jeda waktunya. Ini adalah keputusan besar parti. Kita tidak boleh berganjak.

“Walau ada orang mengatakan saya menggunakan kuasa veto, itu hanya satu tuduhan melulu. Perlembagaan UMNO tidak ada peruntukan untuk kuasa veto. Semua keputusan yang dibuat adalah secara jamai’e (collective). Ini adalah keputusan Majlis Kerja Tertinggi. Apa yang telah diputuskan adalah muktamad,” tegasnya.

Dalam perkembangan sama, beliau menegaskan bahawa UMNO tidak pernah dan tidak akan mendukung gabungan politik dalam PN.

“Ketetapan ini bukan hanya dari MKT tetapi ia lahir dari suara akar umbi yang tidak senang dengan gelagat politik PPBM. Mereka berniat jahat untuk menghapuskan dan menggantikan UMNO. Jauh lebih besar daripada itu, rakyat dan negara sedang dibawa menuju kehancuran.

“Ia boleh dibuktikan apabila usul diluluskan di 124 Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian. Malah, 147 daripada 191 Ketua-Ketua UMNO Bahagian turut bersetuju menolak kerjasama tersebut.

“Anehnya, ada pula gerakan yang kemudiannya disusun untuk mengubah keputusan besar parti. Kita tahu siapa mereka. Sekilas ikan di air, kita tahu jantan betinanya,” jelasnya.

Bercakap mengenai Muafakat Nasional (MN), Ahmad Zahid yakin permuafakatan ini mendapat sokongan padu dalam kancah politik negara dan membuka ruang kepada UMNO dan BN kembali menerajui negara.

Malah, pendirian MN adalah untuk tidak tergesa-gesa menyertai mana-mana gabungan parti-parti politik.

“UMNO sebagai rakan kongsi politik akan terus jujur untuk menterjemahkan piagam dan perjanjian persefahaman berkenaan kerana ianya merupakan doa dan harapan ummah keseluruhannya.

“Yakinlah MN yang teguh mampu menjelmakan kekuatan politik untuk kita semua. Sesungguhnya MN inilah merupakan langkah dinamik ke arah reset politik di negara ini,” ujarnya lagi. – UMNO Online

Oleh: Atikah Mior KamarulBaid

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit