PAU 2020: UMNO Bukan Lagi Berada Di Persimpangan – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 28 Mac – Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata usul ucapan dasar presiden telah diterima sebulat suara pada Perhimpunan Agung UMNO 2020 yang berakhir petang tadi dan ianya akan dibawa ke Majlis Kerja Tertinggi (MKT) dalam masa terdekat.

Menurut beliau antara intipati dalam usul itu termasuklah satu usul iaitu UMNO tidak akan bersama-sama dengan PPBM atau Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 dan pada waktu yang sama Ahli Parlimen UMNO dan Barisan Nasional (BN) tidak bersama dengan PN apabila kerajaan dibubarkan.

“Jurucakap yang terdiri daripada Pengerusi-Pengerusi Perhubungan UMNO negeri juga telah mencadangkan agar ‘timleline’ untuk UMNO dan dalam konteks ini perwakilan Perhimpunan Agung UMNO bagi tahun 2020 telah memutuskan untuk memberi kuasa kepada presiden dan MKT bagi menentukan bahawa pilihan raya mesti diadakan apabila tamat tempoh darurat pada 1 Ogos atau tarikh-tarikh sebelumnya jika darurat ditamatkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menggulung perbahasan pada Perhimpunan Agung UMNO 2020.

Tambah Ahmad Zahid, oleh kerana Perhimpunan Agung UMNO merupakan satu badan yang tertinggi di dalam parti sebagaimana yang tercatat di dalam Perlembagaannya dan hari ini telah memutuskan satu dasar atau polisi besar, maka ahli-ahli UMNO termasuk kepimpinannya perlu mematuhi sepenuhnya keputusan yang dibuat oleh parti ini dan tidak harus ada dakwaan di luar sana bahawa UMNO sedang berada di persimpangan.

“Itu merupakan keputusan besar pada hari ini dan tentunya saya, timbalan, naib-naib presiden serta sayap dan MKT akan membawa usul sebulat suara yang telah diluluskan tadi ke Majlis Kerja Tertinggi yang akan datang.

“Persidangan tadi juga telah diikuti bukan hanya sekadar perwakilan di Dewan Merdeka dan dewan-dewan lain tetapi 58 peratus daripada perwakilan yang bersidang dan sebagai perwakilan di 190 bahagian seluruh negara yang telah dilaksanakan secara maya,” ujarnya lagi. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.