Jangan Biar Rakyat Dipertonton Drama Pengkhianatan – Noh Omar

KUALA LUMPUR, 28 Mac – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Selangor, Tan Sri Noh Omar mengingatkan ahli parti untuk tidak mengkhianat demi memastikan kelangsungan survival politik.

Menurutnya, nilai persahabatan perlu dikekalkan seperti mana strategi yang dilakukan UMNO dan PAS di negeri Selangor.

“Kami di Selangor… pegangan kita ialah apabila kita berkawan, kita bersahabat, kita jangan khianati kawan kita. Melainkan kita dikhianati, itu lain.

“Jangan rakyat lihat bahawa kita yang khianati perjuangan ini.

“Kerana itulah kita di negeri Selangor ini kita telah membuat kuputusan bahawa harapan kita supaya UMNO dan PAS janganlah bertembung dalam pilihan raya akan datang,” ujarnya selaku pembahas dalam usul ucapan dasar Presiden Perhimpunan Agung UMNO 2020.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dalam Perhimpunan Agung UMNO 2020 yang berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.

Noh yang juga Ketua UMNO Bahagian Tanjong Karang berkata ini kerana kedua-dua parti sedar dengan kedudukan masing-masing yang ketika ini menjadi pembangkang di negeri terbabit.

“PAS Selangor dan UMNO Selangor juga sedar bahawa kami ini adalah pembangkang di negeri ini.

“Sebab itu kita tahu kita mesti menggunakan jalan diplomasi, kerana itulah maka semangat Muafakat Nasional di negeri Selangor dikukuhkan dan kami berusaha utuk tidak bertembung,” katanya lagi. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.