Ekonomi Patriotisme, Model Ekonomi UMNO Dan Barisan Nasional – Ahmad Zahid
KUALA LUMPUR, 28 Mac – Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata UMNO perlu tampil dengan satu model ekonomi baharu yang berteraskan ekonomi patriotisme bermatlamat memberi keadilan ekonomi kepada seluruh rakyat di samping membina negara yang stabil.
Menurut Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu, agenda ekonomi bersepadu BN yang tergendala apabila kerajaan bertukar tangan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) hendaklah dikembalikan.
“Ekonomi patriotisme hendaklah dijadikan asas kepada kerangka model ekonomi bagi pemerkasaan pembangunan negara pasca pandemik COVID-19. Inilah manifesto antaranya dan telah siap rangka dan akan bentang di mesyuarat Dewan Tertinggi BN nanti,” ujarnya ketika menyampaikan Ucapan Dasar Presiden Perhimpunan Agung UMNO 2020 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini hari ini.
Perkara demikian katanya dilontarkan oleh parti setelah melihat ekonomi negara sekarang yang bukan di bawah BN amat tenat.
“Kita berada di ambang kemunduran. Poket rakyat semakin nipis. Kedai pajak gadai panjang berbaris. Wang simpanan kian habis. Ada yang sedih ada yang menangis. Tetapi ada pula kluster kayangan yang sanggup berhabis. Mereka langsung tidak menjiwai hati rakyat yang terhiris.
“Malaysia semakin ketinggalan. Laporan Bank Dunia menyatakan kita di belakang negara-negara ASEAN dari segi pelaburan dan pembangunan. Laporan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) mendedahkan pelaburan asing (FDI) ke Malaysia telah jatuh sebanyak 56% pada tahun 2020, manakala laporan United Nations Conference on Trade and Development (UNCTAD) menyatakan kadar penurunan pelaburan asing ke Malaysia adalah sebanyak 68%, paling corot di rantau ini,” tegasnya.
Jelasnya lagi, ini beza berbanding sebelum PRU-14 ketika BN dan Datuk Seri Najib Razak menjadi Perdana Menteri, Malaysia merupakan negara yang mencatat kadar pertumbuhan ekonomi tertinggi serta penerima pelaburan asing terbesar di rantau Asia.
“Sekarang kita kian ketinggalan. Negara jiran menerima limpahan pelaburan walaupun mereka turut dilanda pandemik COVID-19. Bagi menjadi kerajaan semula, kita perlu kemukakan tawaran baharu yang boleh mengembalikan hak-hak rakyat yang telah hilang,” ujar Ahli Parlimen Bagan Datuk itu lagi.
Ahmad Zahid juga berkata menjadi tanggungjawab kerajaan untuk memastikan rakyat sentiasa sejahtera dan aman daripada ancaman luar dan dalam negara, dari segi kesihatan, ekonomi serta politik.
“Kestabilan mula tergugat apabila Pakatan Harapan (PH) menyerang UMNO dan BN. Bukan sahaja dari sudut politik biasa, tetapi dari segenap penjuru. Media baharu dipergunakan untuk menabur lada di bibir pendiam dan menitik cuka di luka perbezaan. Akhirnya, mereka berjaya menjadi juara fitnah dan membina persepsi kotor, untuk dipilih menjadi pemerintah yang berpijak di lantai penuh dusta.
“Pembohongan tidak mampu menjadikan mereka pemimpin dan pemerintah berwibawa. Alhamdulillah, rakyat cepat sedar dan ramai sedang menunggu bilakah PRU-15 untuk menghukum pendusta yang membohongi mereka dahulu,” katanya.
Begitu juga tambahnya ubat kepada politik semasa ini adalah kestabilan.
“Kestabilan Malaysia adalah kejayaan besar UMNO. Kita harus mengakui bahawa kestabilan politik merupakan kunci kepada kejayaan negara. Ia bukan hanya dalam bidang keselamatan malah dalam bidang ekonomi dan sosial.
“UMNO, melalui Parti Perikatan dan BN telah mentadbir negara ini selama 63 tahun. Pada zaman itu rakyat dapat mengecapi kestabilan. Hari ini kestabilan itu sudah tergugat. Semestinya, kita semua perlu menghargai kestabilan. Ia mesti bermula di sini. UMNO stabil, kerajaan stabil, dan negara insya-Allah, stabil,” katanya. – UMNO ONLINE