UMNO/BN Perlu Teroka  Kaedah, Cari Jalan Untuk Lebih Popular – Shahril

KUALA LUMPUR, 27 Mac – Naib Ketua Pemuda UMNO Shahril Hamdan berpandangan 15 bulan sebelum menceritakan segala-galanya dan banyak perubahan telah berlaku malah 15 bulan sebelum ini juga Pakatan Harapan (PH) yang menerajui negara tidak begitu popular.

Malah jelas beliau UMNO yang mana pada waktu itu menjadi pembangkang seronok apabila dibuai kemenangan demi kemenangan dalam beberapa siri pilihan raya kecil dan turut popular juga pada waktu itu adalah Muafakat Nasional (MN).

“Hari ini bagaimana…? Adakah kita bakal melakar sejarah sepertimana Golkar di Indonesia… adakah kita meniti jalan seperti parti LDP di Jepun yang kalah sekejap namun sehingga ke hari ini memimpin kembali.

“Benar jadi pembangkang seronok… hari-hari kita balun… tetapi yang senang adalah kita tetapi rakyat yang terkesan dan mereka tidak akan senang… mereka cukup terguris dengan polemik tiga muka surat tulisan jawi… anak muda dahagakan pekerjaan dan mereka juga tidak senang. Selepas PRU-15 UMNO kena memimpin kerajaan hari ini,” katanya ketika menggulung perbahasan Perhimpunan Agung Pemuda UMNO, di sini, hari ini.

Beliau seterusnya menambah UMNO dan BN perlu mencari jalan dan kaedah untuk popular untuk pastikan apa sahaja formula kerjasama atau apa sahaja pertalian dengan parti-parti lain akhirnya UMNO itu secara independent boleh menjadi pilihan rakyat.

“Ini memerlukan usaha, pengorbanan, keberanian disulami kebijaksanaan. Apa kebijaksanaan dan pengorbanan yang UMNO perlu buat… pertamanya telah banyak disebutkan oleh pembahas dan saya tidak mahu ulang berkali-kali wajah-wajah yang kita tampilkan.

“Tetapi tidak akan lekang daripada bibir saya bahawa UMNO mesti menampilkan lebih ramai calon-calon muda…saya nak tambah sedikit. Di bawah Presiden UMNO hari ini cakaplah apa sahaja tentang Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi… yang berani melantik Datuk Rais, berani melantik Datuk Rizam dalam Majlis Kerja Tertinggi meskipun ada ramai ketua-ketua bahagian yang jauh lebih berpengaruh boleh membantu politik presiden dan yang berani melantik Naib Ketua Pemuda sebagai Ketua Penerangan saya yakin zaman ini insya Allah zaman luar biasa untuk kita. Saya merayu untuk presiden,” ujarnya lagi.- UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit