Tanggungjawab Besar UMNO Luruskan Kembali Jalur Politik Negara – Noraini

KUALA LUMPUR, 27 Mac – UMNO harus memikirkan kelangsungan atau survival parti demi mempertahankan agenda Melayu Islam di negara ini, kata Ketua Wanita UMNO Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.

Menurutnya UMNO, sebagai parti keramat orang Melayu mempunyai satu tanggungjawab yang besar untuk meluruskan kembali jalur politik negara.

“Jalur politik ini penting, kerana kita bukanlah pengkhianat. UMNO tewas tetapi kita gunakan ruang itu untuk bangkit kembali diterima rakyat. UMNO tewas tetapi komponen Barisan Nasional (BN) dan Friends of BN tetap setia.

“UMNO tewas tetapi hubungan bersama PAS yang dahulunya tidak sehaluan kembali pulih setelah penyatuan ummah digerakkan. Tetapi UMNO tidak pernah terkubur, apatah lagi dikatakan lemah sehingga dilihat boleh diperguna serta diperkotak-katikkan sesuka hati,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar ketika Perhimpunan Agung Wanita UMNO di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL) di sini, hari ini.

Ulasnya lagi, jalur ini umpama benang yang basah bukan mudah untuk dilentur lurus.

“Kalau kita cekal berusaha, jalur politik ini akan kembali kepada asasnya, asas yang disantuni oleh pejuang-pejuang yang telah memimpin negara ini terbina dengan gemilangnya.

“Pemimpin-pemimpin ini bukanlah datang dari luar tetapi mereka lahir daripada parti yang menjadi azimat sejak sekian lama,” kata Menteri Pengajian Tinggi itu lagi.

Jelasnya, Wanita UMNO menegaskan dan mahukan kepimpinan parti untuk terus tegas dalam memastikan parti ini kembali memimpin.

“Bukan kerana kuasa, bukan kerana kerusi. Tetapi, parti keramat ini perlu mendominasi, untuk kesejahteraan rakyat, yang sekian lama telah terbukti. Jangan sesekali, benarkan kerusi yang penat jerih wanita dan jentera parti menangi, diberikan lagi kepada pengkhianat yang telah lompat parti!

“Parti UMNO ini seperti dara pingitan, ramai yang mencuit, ramai juga yang mengenyit. Tapi ingat! Saya ingin tegaskan, UMNO hanya akan menerima dan bekerjasama dengan mereka yang boleh menerima falsafah dan perjuangan parti keramat ini,” tegas Noraini yang juga Ahli Parlimen Parit Sulong.

Justeru itu katanya, berbekalkan jiwa yang utuh, semangat yang jitu istaqamah kepada perjuangan yang satu, Wanita UMNO akan terus memberi kepercayaan kepada Presiden parti dan Ahli Majlis Kerja tertinggi UMNO untuk meneliti, mengkaji dan membuat keputusan politik yang terbaik demi memastikan UMNO kembali menjadi pilihan rakyat dan pengundi. – UMNO ONLINE

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit