Puteri Mainkan Peranan Jadi Mata Telinga, Cungkil Sebab Sokong UMNO – Zahida
KUALA LUMPUR, 27 Mac – Ketua Puteri UMNO Datuk Zahida Zarik Khan mengajak ahli-ahli Puteri UMNO memainkan peranan dengan menjadi mata dan telinga untuk melihat sentimen rakyat terhadap UMNO.
Ulasnya, sekiranya Puteri UMNO konsisten dalam tinjauan yang melibatkan perkara ini sudah pasti ramai yang akan menyukai UMNO.
“Adik-adik Puteri akan menjadi ‘mata telinga’ melihat sentimen rakyat. Setiap minggu hantar laporan. Cari tujuh perkara terpenting kenapa orang suka UMNO dan tujuh perkara terpenting kenapa orang tak suka UMNO. ‘Organise survey’ ini hingga ke peringkat cawangan.
“Setiap kali kita santuni rakyat kita cuba cungkil perkara ini. Kita jadikan ayah kita, mak, abang atau adik kita untuk jadi agen kita mencukil ‘tujuh YES’ dan ‘tujuh NO’ terhadap UMNO. Tujuh sebab sokong UMNO, tujuh sebab tak sokong UMNO.
“Yakinlah dengan mata hati kita berada dilandasan perjuangan sebenar. Usahlah dipertikai dan diragui. Berilah kepercayaan sepenuh hati hilangkan resah dan gelisah, janji yang dilafazkan tidak dimungkiri,” katanya ketika membahas ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung UMNO 2020, di Dewan Merdeka, PWTC, di sini hari ini.
Turut hadir Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, Datuk Zahidi Zainul Abidin dan Suraya Yaacob.
Tambah Zahida, ahli Puteri diminta terus maju dan jangan menoleh ke belakang demi memastikan kegemilangan masa hadapan.
“Kita tidak akan toleh ke belakang. Masa lampau kita jadikan sebagai pedoman masa depan kita bina bersama. Pulang nanti kita mulakan tugasan bina masa depan. Selami masalah masyarakat setempat dan bantu mereka.
“Almarhum Tunku Abdul Rahman pernah berkata ‘look with the past with gratitude, look to the future with confident’, (lihatlah masa lampau dengan kesyukuran, lihatlah masa depan dengan keyakinan),” ujarnya lagi yang menutup Perhimpunan Agung Puteri UMNO 2020, hari ini. – UMNO Online