Pulihkan Kembali Negara… UMNO Rintis Pembaikan Politik – Mohamad Hasan

KUALA LUMPUR, 27 Mac – Atas sifat UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang dinamik, progresif dan bukan pegun, ia sentiasa terbuka dengan segala rumus baharu dalam politik, ujar Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan.

Ujar Timbalan Pengerusi BN itu, demi masa depan negara UMNO dan BN wajib meneroka dan memeta pembaikan politik yang baharu serta strategik.

“Kenapa saya menganjurkan kesediaan untuk melakukan pembaikan politik atau ‘political correctness’ ini? Pertama, kerana kita sedang berada dalam era ‘disruption’ dan ‘survival mode’. Era ini menuntut kita keluar dari zon selesa dan melepaskan diri dari sebarang kejumudan pendekatan politik, yang selama ini membelenggu kita.

“Telah tiba masanya untuk UMNO meneroka, jalan progresif dengan memikirkan percaturan serta pembaikan politik yang lebih sesuai zaman.

“Kedua, jika parti lain memilih meninggalkan UMNO dan BN, ia menandakan kita semakin menua dengan citra ketinggalan zaman. Maka kita harus meremajakan citra UMNO ini dengan menjadikan ia lebih baik dan bermutu. Dan ketiga ada banyak cara dan jalan yang lebih baik untuk mencapai pembaikan politik ini. Sama sekali bukan dengan mengorbankan moral dalam berpolitik,” ujarnya ketika berucap dalam perasmian serentak Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO, di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL) di sini hari ini.

Tegasnya lagi, UMNO mesti memilih jalan yang lebih matang, unggul, diterima dan bermaruah dengan jalan yang tidak membiarkan sesiapa berasa ditinggalkan, ditipu dan dikhianati.

“Suka atau tidak, kita mesti mula menerima hakikat. Bahawa sekarang ini adalah zaman kebarangkalian dengan seribu kemungkinan. Akan sampai waktu UMNO, mesti meneroka pembaikan politik dengan terbuka dan berani.

“Selagi mana yang demikian itu dapat menyumbang kepada penyelesaian kecelaruan politik di Malaysia tanpa menggadaikan perkara-perkara asas yang kita pegang dan perjuangkan,” katanya.

Tegasnya lagi, pembaikan politik mestilah dipagar dengan nilai, prinsip dan syarat-syarat yang ketat.

“Satu, ia mesti menguntungkan UMNO, orang Melayu dan Islam. Mesti. Tidak ada kompromi. Perjuangan dan kepentingan orang Melayu dan Islam tidak akan ditinggalkan dan dikompromikan oleh UMNO. Apa guna memegang kuasa kalau Melayu binasa. Apa guna bekerjasama kalau Melayu kekal di takuk lama.

“Dua, ia mesti melonjakkan UMNO menjadi induk dalam pemerintahan negara. UMNO mesti memimpin segala bentuk perkongsian kuasa atau kerjasama politik untuk mengurus negara. Tiada pemerintahan, tanpa UMNO sebagai induk dan terajunya.

“Tiga, pembaikan politik ini mesti memberikan kestabilan politik yang lestari. Bukannya sekadar sebuah kerjasama terdesak, yang bersifat menangguk di air keruh, dan dipenuhi dengan gunting dalam lipatan. Sehinggakan, segala prinsip dan pendirian, terpaksa digadaikan berkali-kali,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau itu.

Begitu juga pesannya, tidak ada lagi aktiviti kotor melelong ahli Parlimen, ugut-mengugut, mempergunakan darurat demi kelangsungan kuasa politik dan percaturan tidak bermoral, yang melingkupkan nilai dalam berpolitik dan amalan demokrasi.

“UMNO melalui BN akan bekerjasama hanya dengan mereka yang berprinsip dan diterima rakyat. Biar apa pun pembaikan politik yang kita mahu lakukan, ia mesti bersifat terangkum dan menjadi wahana keadilan dan kebaikan untuk semua. Orang Melayu, Bukan Melayu serta Malaysia.

“UMNO akan menyantuni semua dan meneroka persefahaman dengan semua. Parti politik atau bukan parti politik, kerajaan atau bukan kerajaan, rakyat biasa atau golongan pemodal, yang tua atau remaja. Semua harus menjadi pemegang taruh dalam pembaikan politik ini,” ujarnya.

Katanya juga, pembaikan politik mesti menjadikan UMNO sebagai teras, Malaysia sebagai asas dan kestabilan politik sebagai matlamat, yang dipertahankan bersama, secara saksama.

“Insya-Allah, pembaikan politik yang UMNO usahakan akhirnya mesti menjadikan politik di Malaysia lebih baik. Dan dengan politik yang lebih baik ini, UMNO akan mengusahakan sebuah pemerintahan, yang berpotensi memulihkan Malaysia,” katanya. – UMNO ONLINE

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.