Perkasakan Parti, ‘No Anwar No Dap’, Ahli Parti Ada Peranan Tersendiri
KUALA LUMPUR, 27 Mac – Wakil Pemuda UMNO Pahang, Fazli Mohamad Kamal menegaskan dalam usaha parti memperkasakan langkah sendiri, pergerakan negeri itu turut melahirkan pandangan bahawa Muafakat Nasional perlu dipertahankan dan pada masa yang sama parti perlu menolak Dap dan PKR.
Berucap pada perbahasan Perhimpunan Agung Pemuda UMNO, beliau yang juga Ketua Penerangan Pemuda UMNO Pahang berkata atas nama perpaduan ummah disatukan dan sudah dua tahun kedua-dua parti iaitu UMNO dan PAS menempuh segala cabaran.
“Tiap kali pilihan raya kecil mereka dah buktikan dan sesungguhnya pada rakyat Muafakat Nasionallah sinaran yang boleh dijadikan sandaran untuk memayungi bangsa, agama dan masa depan. Namun sudah menjadi lumrah di awal persahabatan, adalah di sini dan di sana kehilafan. Ingat… musuh sentiasa bersedia mengambil kesempatan. Justeru tugas kitalah untuk melawan sambil muafakat ini kita kukuhkan, mana yang kurang kita perbaikkan.
“Sesungguhnya UMNO tidak perlukan Dap dan PKR apatah lagi. Pemuda UMNO Pahang ingin mengulangi sesungguhnya UMNO tidak perlukan Dap PKR apatah lagi. Tidak cukupkah 22 sebagai bukti. Jangan sesekali dan janganlah langsung terdetik di hati di Dewan WTC ini dan di persidangan ini UMNO bersumpah dan berjanji NO PKR No Dap,” katanya.
Beliau seterusnya menambah bagi kerusi parlimen ‘katak’, Pemuda UMNO Pahang bertegas agar pucuk pimpinan berpendirian tetap dengan mengatakan tidak pada ‘si katak’, kerusi-kerusi parlimen itu UMNO punya hak dan UMNO sama sekali tidak berganjak.
“Dalam usaha meyakini anak muda pula, UMNO perlu dekati dan selami dunia mereka dengan memperhebatkan gerakan di media sosial. Contohilan Bossku di Facebook, posting selamba tapi dekat di hati, rintihan anak muda pantas didengari, info pun segar dan mudah difahami, inilah yang anak muda cari.
“Dulu pun mereka menolak UMNO sebab persepsi, kini mereka dah menyedari dan PH Cuma pandai berjanji apabila berkuasa habis anak muda di anak tiri. Pemuda perlu bertindak cepat bantu orang muda rapat-rapat,” ujarnya.
Ujar beliau lagi di Pahang, Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail cukup rapat dan sentiasa bersedia membantu anak-anak muda dan sebagai contoh Majlis Tindakan Sosial Pahang ditubuhkan oleh kerajaan negeri.
“Target utama jaga kebajikan anak muda serta kembangkan ekonomi mereka dan sehingga PUBG pun kita promote sambil layan game sambil berniaga dan itulah contoh inisiatif mendekati anak muda…insya Allah,” ujarnya.
Sementara itu Wakil Pemuda UMNO Pulau Pinang Aliff Ashraf Abd Rahim dalam ucapannya berkata setiap ahli UMNO masing-masing mempunyai peranan tersendiri baik kalangan pimpinan dan sebagainya lagi.
Menurut beliau apabila Ahli Majlis Kerja Tertinggi parti membuat keputusan, sebagai ahli tentunya mempunyai peranan dan tanggungjawab tersendiri.
“Kita sebagai ahli buat kerja dan ada peranan masing-masing. Kita minta yang paling penting ahli-ahli kita dan pimpinan menjaga disiplin masing-masing dan bukannya turun ke sana… turun ke sini. Kalau boleh turun ke negeri-negeri membantu tidak mengapa…. Kadang-kadang kita jadi pening.
“Sebab apa..benda ini serius kerana kita perlu menjelaskan kepada mereka yang tidak berparti terutamanya. Macammana kita nak jawab… kalau disalah anggap dalam memberikan ulasan macammana yang akhirnya merugikan parti,” ujarnya. – UMNO Online