Pemuda UMNO Perlu Fokus Tawan Hati Rakyat Khususnya Pengundi Muda – Azril
KUALA LUMPUR, 27 Mac- Pemuda UMNO perlu fokus dalam gerak kerja Pemuda dan pada masa yang sama perlu terus menyelami denyut nadi rakyat dan menjadi pemudahcara kepada permasalahan yang timbul dalam masyarakat.
Exco Pemuda UMNO Malaysia, Mohd Azril Rizal Mohd Sarit berkata pelbagai program yang melibatkan kebajikan rakyat telah dilaksanakan selain perana tersendiri pergerakan itu dalam membantu parti terus menerus mendapat kepercayaan rakyat.
Menurut beliau bantuan banjir termasuklah pasca banjir, misi sanitasi, suara-suara orang muda dan sebagainya lagi telah dilakukan serta dilaksanakan oleh jentera pemuda dan khidmat Skuad Sabil juga adalah satu perkara yang perlu dibanggakan.
“Semua ini dapat kita laksanakan dan dijayakan kerana kita bersama di dalam pemuda yang mengamalkan ‘bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat’. Atas dasar muafakat dan kerjasama yang erat sebagai satu ahli keluarga yang bersatu padu dan keluarga besar UMNO dan gerakan Pemuda UMNO, kita sama-sama dapat menempuh segala ujian dalam onak dan duri dalam perjuangan kita yang suci ini.
“Kita ahli pergerakan Pemuda UMNO akan bergerak semuafakat bagai kata peribahasa Melayu retak sedegam, langkah sepijak tetap kekal berjuang meneruskan wadah perjuangan walau pelbagai ujian mendatang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap menyokong usul ucapan dasar Ketua Pemuda UMNO.
Beliau pada masa yang sama turut memberi penekanan kepada soal undi 18 yang perlu dilihat secara mendalam oleh pergerakan itu kerana ianya bakal menyaksikan pertambahan pengundi yang cukup besar kelak.
“Cara fikir dan cara gerak kerja kita mestilah berubah secara radikal untuk menambat hati ‘targetted votters’ kita ini. Tetapi usaha Pemuda UMNO dan parti sendiri perlu dioptimumkan semaksimum mungkin.
“Oleh yang demikian seperti pentingnya kita melihat faltor pengundi muda yang telah membawa tsunami kepada Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum lalu. Maka kita perlu memberikan tumpuan dan kita harus akui corak pemikiran, sudut pandang dan tindakan mereka dalam menilai pilihan politik mereka pasti berbeza daripada generasi mereka yang lebih senior,” ujarnya.
Ujarnya lagi dalam menawarkan pilihan yang terbaik kepada rakyat adalah dengan menawarkan formula kestabilan di bawah pemerintahan BN sebelum ini yang telah terbukti sejak zaman berzaman mengekalkan tradisi ini.
Ini kerana tambahnya hanya dengan kestabilan dapat menjadi pemangkin kehidupan yang lebih sejahtera dan selesa kepada rakyat.
“Untuk itu tidak diragui BN perlu sentiasa di depan dalam mengemukakan polisi serta dasar yang jauh lebih baik daripada PH yang telah meninggalkan legasi dasar pemerintahan membuat rakyat masih trauma dengan kebobrokan pemerintahan mereka.
“Sudah semakin jelas rakyat begitu mengharapkan polisi dan dasar kerajaan BN yang telah memberikan kestabilan serta nikmat kepada rakyat Malaysia selama ini,” ujarnya.- UMNO Online