Pemuda UMNO Gariskan Lima Resepi Penentu Kejayaan Parti

KUALA LUMPUR, 27 Mac – Pergerakan Pemuda UMNO menggariskan lima perkara penting sebagai pedoman dan resepi kemenangan untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU)-15) akan datang.

Ujar Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, resepi pertama adalah menguasai persepsi anak muda.

“UMNO mesti berani berubah dan bersedia melakukan transformasi ke arah budaya politik yang berintegriti. UMNO mesti dilihat sebagai parti yang tulus dan telus, berpegang kepada prinsip moral dan berakhlak tinggi. UMNO mesti dilihat mendekati semua lapisan pengundi bukan hanya syok sendiri sesama ahli.

“UMNO mesti dipandang sebagai suara yang konsisten memperjuangkan kepentingan rakyat, biarpun menjadi lilin yang membakar diri. Barulah kita mudah diterima kembali,” ujarnya di dalam ucapan dasarnya di Perhimpunan Agung Pemuda UMNO Malaysia di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL) di sini hari ini.

Kedua tambahnya, parti hendaklah mempunyai calon yang segar dan diterima rakyat.

“Untuk UMNO diterima rakyat terutama 47% pengundi muda yang rata-rata tidak terikat dengan sebarang ideologi mahupun parti, UMNO mesti berani menonjolkan pemimpin muda yang segar bukan sekadar pelapis, sebaliknya sebagai barisan peneraju kepimpinan negara yang baharu.

“Pemuda berpendirian, calon-calon PRU akan datang, mestilah diperbanyakkan orang muda yang kompeten dan berilmu, diterima rakyat bukannya sekadar hero di kalangan ahli sendiri. Calon-calon juga mesti terdiri hanya mereka yang setia dan bukannya yang mudah ‘kowtow’ kepada sekutu atau mengkhianati parti sendiri,” katanya.

Seterusnya ketiga ujar Dr Asyraf, yakin diri dan pertahan ideologi dengan mempertahankan jenama Barisan Nasional (BN) yang terbukti lebih baik dan mampu menawarkan kestabilan berbanding Pakatan Harapan (PH) yang penuh kegagalan dan Perikatan Nasional (PN) pula sebuah gabungan longgar.

Manakala resepi keempat adalah sedia bekerjasama tanpa mencairkan prinsip, kata Pengerusi Pemuda BN itu lagi.

“Sejak merdeka lagi UMNO tidak pernah bersendirian dalam membentuk kerajaan. UMNOlah parti yang sangat terbuka dan bersedia untuk bekerjasama dengan sesiapa sahaja demi rakyat, demi negara. Tetapi bukan dengan cara menggadai maruah, mencairkan wadah dan membiarkan diri diinjak-injak muka kepalanya.

“UMNO adalah parti yang mendokong penyatuan demi Ummah, tetapi bukan dengan cara menghalalkan khianat dan merelakan parti terus-menerus dicurangi dan diperkotak-katikkan semahunya,” tegasnya.

UMNO juga katanya tidak pernah curangi kawan dan berpegang kepada janji serta ketetapan bersama dalam Muafakat Nasional, termasuklah tidak pernah setuju menganggotai Parti PN walaupun akhirnya didaftarkan secara senyap-senyap tanpa pengetahuan dan persetujuan.

Resepi kelima pula tambah Dr Asyraf adalah memperkasakan jentera serta menjauhi sengketa. – UMNO ONLINE

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit