Utamakan Kepentingan Parti, Kukuhkan Perpaduan Dan Bina Kekuatan – Shamsul Anuar

KUALA LUMPUR, 26 Mac – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata jika UMNO mahu kembali berkuasa semua pihak perlu mengutamakan kepentingan parti, perkukuhkan perpaduan dan fokus membina kekuatan.

Kata Menteri Tenaga Dan Sumber Asli itu, di antara faktor utama yang menentu kepada kekuatan parti adalah kesetiaan pemimpin dan ahli kepada parti.

“Bila kita setia kepada parti, pasti apa juga keputusan dan pendirian yang hendak kita lakukan, parti akan menjadi keutamaan. Dan kerana itulah, ideologi serta prinsip perjuangan parti mesti difahami oleh kita semua. Ini sangat penting.

“Sudah tentu bila parti didahulukan ia akan memudahkan apa juga yang ingin kita lakukan. Justeru jika ini menjadi pegangan semua UMNO akan kukuh, dan kuat,” ujar Ahli Parlimen Lenggong itu dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu perpaduan juga sangat penting, tambahnya lagi.

“Maknanya jika parti diutamakan dan dalam waktu yang sama pimpinan dan ahli parti di semua peringkat bersatu padu pasti parti menjadi lebih kuat, hebat dan dipandang tinggi oleh rakan serta lawan.

“Malah, ianya terbukti berasaskan sejarah UMNO. Bila parti diutamakan, perpaduan kukuh, UMNO berupaya lalui apa juga cabaran dengan mudah dan berjaya. Kerana itu, mari kita bersama untuk terus memperkukuhkan perpaduan UMNO di semua peringkat. Kita mesti seia senada, berbeza pandangan memang biasa namun sesekali jangan ianya merosakkan parti yang kita sayangi ini,” katanya.

Realitinya jelas Shamsul, cabaran di hadapan UMNO sangat besar.

“Kehadiran UMNO di arus politik negara penting. Kita jangan tewas atas kelemahan kita sendiri. Usahlah kita cipta kelemahan sebaliknya binalah kekuatan.

“UMNO punyai kekuatan. Kekalkan kekuatan itu. Kerana itu, UMNO mesti bijaksana dalam membuat apa juga keputusan. Maka jika parti diutamakan, perpaduan diperkukuhkan dan kita focus membela rakyat. Kita akan kuat dan rakyat akan sokong kita,” ujarnya.

Namun tegasnya, parti tidak boleh bersendirian mesti membinanya bersama rakan yang ikhlas, setia dan selari dengan ideologi dan prinsip perjuangan UMNO. – UMNO ONLINE

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit