Pengukuhan Dalam UMNO Sentiasa Berjalan, Parti Terus Kukuh Depani Cabaran – Khaled

KUALA  LUMPUR, 26 Mac – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berpandangan pengukuhan di dalam UMNO sentiasa berjalan dan sentiasa bergerak khususnya selepas parti tidak lagi membentuk sebuah kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 pada 2018 yang lalu.

Menurut beliau keyakinan ahli dan masyarakat umum terhadap UMNO sentiasa bertambah dan jatuh bangun UMNO di dalam politik tanah air telah memperlihatkan bahawa ianya parti politik yang cukup matang apatah lagi memasuki  75 tahun perjuangannya dengan esok merupakan Perhimpunan Agung UMNO bagi tahun 2020.

“Hari ini kita bersyukur UMNO telah memasuki tahun ke-75 perjuangan dan kita juga akan sama-sama menjayakan Perhimpunan Agung UMNO 2020. Kalau kita lihat, kita telah melalui pelbagai jatuh bangun sebagai sebuah parti politik dan syukur Alhamdulillah dalam kita menjelang PAU hari ini kita dapati bahawa keadaan parti kita sentiasa yakin dan bersedia.

“Kalau kita lihat ketika kita tidak berjaya sebagai kerajaan pada tahun 2018, pada ketika itu pun kita masih kekal segar dan masih berdaya tahan apatah lagi kita sekarang sebahagian daripada kerajaan. Jadi kita bertambah yakin dan semakin bersedia untuk berdepan apa sahaja cabaran.

“Dalam UMNO sentiasa bersedia… kalau dulu boleh segar, boleh berdaya tahan apatah lagi sekarang. Jadi dalam keadaan kita memasuki umur ke 75, dalam kita akan berdepan dengan PAU pada kali ini, insya-Allah saya percaya UMNO akan lebih yakin dan lebih bersedia.

“UMNO sebagai sebuah parti politik memang sentiasa ada masa yang bagus… ada masa yang mungkin tidak begitu baik. Namun apa pun proses pengukuhan itu saya percaya tidak pernah diketepikan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program Live Facebook UMNO-Online yang mengutarakan topik ‘Solidariti 75 Tahun UMNO: UMNO Wadah Pengislahan’ yang dihoskan moderator Datuk Dr Azizan Abd Majid.

Tambah Khaled lagi jatuh bangun UMNO di dalam politik tanah air merupakan satu perkara yang cukup jelas dalam memperlihatkan mereka yang benar-benar ikhlas dan pelbagai telahan lain selain dapat melihat bagaimana UMNO terus maju ke depan mengorak langkah.

“Kalau kita lihat daripada satu sudut memang UMNO mengukuh kerana apabila tidak berjaya dan gagal menjadi kerajaan kita dapat asingkan antara mereka yang ikhlas berjuang, mereka yang ada dalam UMNO untuk tunggang UMNO dengan mereka yang betul-betul setia dan ikhlas.

“Jadi kita dapat asingkan mereka yang tidak mahu lagi bersama serta segan dan malu kerana UMNO ini kalah dalam pilihan raya dengan mereka yang terus berpegang bahawa keberadaan dalam UMNO tidaklah semata-mata kerana menang atau kalah dalam pilihan raya.

“Jadi pengukuhan berlaku apabila dalam keadaan selepas UMNO tidak berjaya… UMNO dapat asingkan mereka yang ikhlas bersama parti dengan yang tidak ikhlas. Yang tidak ikhlas ada yang lompat, ada yang tidak aktif manakala yang lain ramai-ramai kerana merekalah maka UMNO terus berada dalam arena politik dan UMNO terus segar dan berdaya tahan. Jadi itu antara usaha yang berlaku, yang kita percaya membantu untuk mengukuhkan kedudukan UMNO,” ujarnya.

Jelas beliau lagi menjelang PAU 2020, umumnya dapat melihat bagaimana pelbagai komentar dan pelbagai telahan daripada pelbagai pihak mengenai UMNO hari ini sekaligus menjelaskan bahawa keberadaan parti UMNO itu sendiri dalam politik tanah air.

“Kita dapat lihat menjelang PAU ini pelbagai telahan dan komentar diterbitkan dan ini menunjukkan bahawa pentingnya UMNO kepada politik dan masa depan Malaysia apatah lagi ucapan serta perbahasan apa sahaja keputusan yang dibuat ia memang akan mempengaruhi perjalanan Malaysia. Jadi untuk musuh UMNO dia akan kata tidak ada kekuatan… kalau dah begitu mengapa memberikan tumpuan kepada UMNO dan banyak cerita mengenai UMNO.

“Kemudiannya walaupun kenyataannya berbeza-beza dan tidak sama antara satu dengan lain nampak macam ada usaha nak melamar UMNO. Kemudian ada cakap-cakap daripada parti yang memang menjadi musuh tradisi seperti PKR, Dap dan baru-baru ini Amanah semuanya nampak macam nak melamar UMNO.

“Kalau UMNO ini sudah tidak cantik dan tidak molek mengapa semua orang nak melamar UMNO. Jadi atas sebab itulah kalau kita lihat kepada keadaan ini… apa itu UMNO… apakah signifikannya dan pelbagai lagi saya berharap supaya ahli-ahli pendokong UMNO terus kekal dan yakin kepada parti. UMNO akan terus memainkan dan menyumbang kepada perjalanan politik di tanah air.

“UMNO adalah wadah kelangsungan Melayu dan UMNO adalah pengislahan orang-orang Melayu. UMNO adalah sebuah perjuangan dan UMNO ini perjuangan. Jadi sebab itulah ia akan terus menyumbang memainkan peranan utamanya. Ini bezanya UMNO dengan parti-parti yang lain,” tambahnya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit