PAU 2020: UMNO Wajar Mainkan Peranan Sebagai ‘The Malay Braintrust’ – Khaled

KUALA LUMPUR, 26 Mac – UMNO akan mengadakan perhimpunan agungnya bermula esok setelah pelbagai ulasan, telahan dan komentar tentang apa yang akan berlaku dalam persidangan itu diterbitkan dalam pelbagai saluran media.

Sehubungan itu, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengungkapkan renungan kepada para perwakilan ekoran demikianlah pentingnya UMNO kepada politik dan masa depan Malaysia kerana apa yang akan dibicara, ditegur, dibincang dan diusulkan dalam Perhimpunan UMNO sangat mempengaruhi perjalanan negara dan bangsa Malaysia.

“Oleh itu sangat lah penting kepada semua perwakilan menyedari ini. Bahawa usul, pembicaraan serta kupasan idea mereka, akan menjadi intipati penting dalam menyelesaikan segala kekusutan dalam masyarakat dan negara, maka bahaslah dengan rasional dan matang.

“Kemukakan kecerdasan baru dan suarakan segala permasalahan rakyat dengan sebaiknya,” katanya dalam kenyataan menjelangnya Perhimpunan Agung UMNO 2020 yang telah dua kali tertangguh ekoran pandamik COVID-19, sebelum ini.

Ujar Khaled, setelah menjadi sebahagian dari Kerajaan, UMNO mesti menggunakan peluang ini untuk membahaskan pelbagai isu yang mendepani rakyat dengan mengetengahkan dasar yang pincang dan memperincikan dasar lebih baik mesti diutamakan.

“Ini kerana UMNO wajar memainkan peranannya sebagai ‘the Malay braintrust’. Ia mesti tampil dan mengemukakan solusi nasional terhadap pelbagai kemaslahatan Malaysia.

“UMNO wajar membicarakan pelbagai isu berkepentingan nasional kerana ia adalah peranan hakiki UMNO dalam politik bangsa. Iaitu mengemukakan idea termaju untuk memperbaiki kedudukan bangsa dan negara.”

Kedua, kata beliau, perhimpunan agung ini mesti menjadi medan perwakilan membahaskan jalan kehadapan untuk UMNO kembali memerintah, bukan ruang untuk menggugat perpaduan parti atau mencerca sesiapa jua.

“Teguran, kritikan dan apa jua saranan kita, haruslah dalam semangat membangunkan keunggulan UMNO dan bukan melebarkan lagi kepuak-puakkan dan melemahkan kesatuan.

“UMNO mesti berada dalam kedudukan ‘utuh’ untuk menghadapi PRU ke 15 dan memerintah semula. Kerencaman berparti tidak boleh mengatasi ‘UMNO’s higher purpose’ iaitu menjadi pengemudi kepada kemajuan Malaysia.”

Terakhir, pesannya, apa jua yang diputuskan oleh perwakilan nanti, mestilah dihormati dan tiada individu, suara dan pengaruh lebih besar dan gah dari muafakat dan konsensus akar umbi UMNO.

“Disiplin dan tata kelola parti mesti diamalkan dan tersemat di hati. Usia UMNO tahun ini ialah 75 tahun. Ia lebih tua dari Malaysia sebagai sebuah negara. UMNO mesti dewasa sesuai usianya. Pembawaannya mesti dewasa, pendiriannya mesti berhikmah dan kewibawaannya mesti sematang usianya insya-Allah.
“Selamat bersidang UMNO dan perwakilannya.” – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit