PAU 2020 Medium Capai Kata Sepakat, Semarakkan Obor Perjuangan – Abdul Rahman

KUALA LUMPUR, 26 Mac – Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 kali ini perlu dijadikan sebagai medium untuk semua pendukung parti mencari kata sepakat dan semarakkan lagi obor perjuangan yang telah dinyalakan, kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad.

Kata Ketua UMNO Bahagian Lipis itu, perhimpunan ini sewajibnya terus menjulang kepentingan dan kedudukan bangsa serta kerturunan Melayu di tanah tumpah darah sendiri.

“Dalam usaha kita mengutuhkan kepercayaan rakyat terhadap UMNO, marilah kita sama-sama bermuhasabah tatkala dihadapkan dengan pelbagai dugaan seperti yang tertulis dalam surah Al-An’am, ingatlah bahawa cabaran yang diterima seseorang itu mudah-mudahan Allah memberi keampunan dan mengangkat martabat mereka.

“Untuk terus releven, UMNO perlu menginsafi kelemahan dan bergerak dengan lebih sederap ke hadapan bagi meyakinkan rakyat jelata bahawa UMNO adalah parti terbesar dan telah menjadi teras pemerintahan negara, serta telah berperanan dalam membuat dasar-dasar.

“Sesungguhnya, tiada parti lain yang mampu menjulang maruah agama dan bangsa kita melainkan parti keramat ini,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Tambah Ahli Parlimen Lipis itu, tidak kira sama ada UMNO mahu bergerak sendiri atau melalui kerjasama yang sejati, yang lebih penting adalah bagaimana parti harus dilihat sebagai jaguh rakyat dan ‘bapa’ kepada penyatuan Melayu.

“Apa jua yang berlaku kita harus bergerak dalam ikatan yang kukuh dan sempurna, dipandu oleh prinsip yang disepakati bersama.

“Biar mati berkalang tanah, perjuangan ini tak akan musnah,” tegasnya lagi.

Ulasnya lagi, menyaksikan tradisi bendera Sang Saka Bangsa dinaikkan di hadapan para pejuang bangsa serta dapat menghayati bait lagu UMNO berkumandang di setiap dewan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) adalah detik yang semua rindukan.

“Ia juga menandakan bermulanya secara rasmi semua pimpinan parti dan perwakilan berkumpul dan bersidang mencari kata sepakat berhimpun di rumah kita, rumah UMNO.

“Kita merancang, namun Allah jualah sebaik-baik perancang. Perhimpunan kali ini cukup berbeza dengan perhimpunan yang lalu. Ternyata suasana ini dan semua perisitiwa yang kita lalui telah memberi banyak hikmah.

“Semua perkara daripada sebesar-besar memilih pemimpin dan membentuk kerajaan kepadalah sekecil-kecil urusan tidak lagi seperti dahulu. Tugas yang dipikul di bahu kita semua seperti satu amanah yang dimandatkan dengan sangat besar, terutama dalam agenda penyatuan orang Melayu,” katanya yang turut mengucapkan selamat bersidang kepada semua ahli UMNO di serata negara demi kepentingan Islam, Melayu dan tanah air tercinta. – UMNO ONLINE

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit