COVID-19 Malapetaka Ekonomi, PAU 2020 Medan Terbaik Kembalikan Kestabilan Negara – Norliza

KUALA LUMPUR, 26 Mac – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Malaysia, Datuk Norliza Abdul Rahim mengharapkan Perhimpunan Agung UMNO 2020 ini menjadi medan terbaik untuk mendapatkan kaedah tuntas demi mengembalikan kestabilan ekonomi negara yang terjejas ekoran penularan pandemik COVID-19.

Jelas beliau, wabak ini suatu ujian yang amat berat kerana situasi ini turut memberi kesan besar kepada rakyat terutama apabila membabitkan duit poket mereka.

“Perhimpunan agung ini diharapkan dapat dijadikan wadah perpaduan dalam kalangan ahli parti dan masyarakat Malaysia, kerana kita semua menginginkan negara kita terus membangun pasca pandemik COVID-19.

“Di kala rakyat sedang bergelut dengan kesempitan hidup, wajar kiranya kita menyantuni keluh kesah, kebimbangan, perit getir dan kesengsaraan rakyat untuk kelangsungan hidup selepas sebilangan besar mereka diduga dan yang lebih membimbangkan, malapetaka ekonomi pula menimpa negara,” katanya menerusi satu kenyataan media.

Mengulas mengenai parti, beliau yang juga Naib Ketua Wanita UMNO Malaysia berpandangan prinsip nilai kesetiaan dan kepercayaan sepenuhnya kepada Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi harus dikekalkan demi keharmonian parti.

Menurutnya, sebelum ini Ahmad Zahid telah dipilih secara demokrasi melalui pemilihan dan diberikan kepercayaan oleh ahli akar umbi untuk menjadi nakhoda parti.

“Namun sekiranya ada mana-mana pemimpin berhasrat untuk menjadi nakhoda baharu, sama-sama yakinkan ahli parti pada pemilihan UMNO akan datang dengan menawarkan diri secara jelas dan disertakan dengan manifesto serta janji-janji untuk membantu parti kerana UMNO sentiasa berpegang teguh dengan prinsip kesetiaan terhadap pemimpin

“Sekiranya suatu hari nanti, kita berada di atas, pastinya kita juga tidak akan disenangi oleh sesetengah individu. Adakah kita juga mengharapkan ada gerakan-gerakan dalaman, perselisihan yang akan memecahbelahkan parti lalu menjatuhkan kita sebagai pemimpin?” soal Norliza.

Berkenaan situasi politik negara pula Ketua Wanita UMNO Pulau Pinang itu turut mengharapkan tindakan tuntas wajar dilakukan bagi meleraikan pertelingkahan di antara Malay-based party yang berlaku.

Katanya ini amat penting bagi kestabilan politik negara kerana ianya bakal memanfaatkan rakyat dan negara.

Adalah menjadi kewajiban bagi kita untuk mengenepikan nafsu serakah politik mana-mana pihak dan menjunjung tinggi Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi dalam negara. Sekiranya kita sendiri tidak mengamalkan prinsip rule of law, bagaimanakah warga asing mampu menghormati Malaysia sebagai sebuah negara yang aman dan makmur.

Sekiranya tiada usaha ikhlas ke arah menjernihkan kekeruhan di dalam kesepakatan, UMNO harus memikirkan apakah langkah yang terbaik dan perhimpunan agung ini adalah platform yang sewajarnya untuk ahli-ahli parti membuat keputusan.

“Saya berpendapat, UMNO hanya mahukan kestabilan untuk rakyat, kesejahteraan buat masyarakat dan mewariskan sebuah negara yang utuh dari segi ekonomi dan pembangunan kepada generasi akan datang,” katanya. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

 

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit