UMNO Parti Pembela Agama, Bangsa… PAU 2020 Bakal Noktahkan Kesangsian – Asyraf Wajdi

KUALA LUMPUR, 25 Mac – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menekankan bahawa UMNO adalah parti yang memegang amanah rakyat untuk memelihara agama dan menjaga bangsa maka ia perlu sentiasa dimartabatkan.

Kerana itu katanya, Perhimpunan Agung UMNO yang bakal berlangsung perlu menoktahkan segala kesangsian dalam parti dengan bersedia ke arah peperangan yang lebih besar iaitu pilihan raya akan datang.

“Ramai orang cemburu dengan UMNO, maka cara nak mereka nak runtuhkan UMNO adalah dengan wujudkan kebencian, wujudkan prasangka sesama ahli dan sesama kepimpinan, wujudkan rasa prejudis yang akhirnya apabila kita berantakan dan ketika gendang perang di palu semua berterabur. Itu harapan musuh kita.

“Inilah antara perkara yang kita perlu tutup dengan masuk ke Perhimpunan Agung UMNO memikirkan, apakah kita mahu UMNO ini sekali lagi kecundang yang bermakna seolah-olah mengkhianati amanah rakyat yang rakyat letakkan kepada UMNO iaitu memelihara agama, menjaga bangsa,” katanya.

Jelas beliau, pendirian UMNO sehingga kini adalah jelas sebagaimana yang telah diputuskan oleh Majlis Kerja Tertinggi (MKT) bahawa tiada kerjasama dengan PKR dan Dap tetapi fokus ke arah pengukuhan parti.

“Apabila nak mewujudkan dengan mana-mana parti politik adalah berdasarkan keputusan dasar. Pertama melalui perhimpunan agung dan jika tanpa perhimpunan agung mesti MKT. Pengalaman dan proses yang dilalui dalam parti mestilah memperolehi mandat yang harus diberikan oleh MKT untuk mana-mana pihak berunding.”

Beliau berkata demikian menerusi segmen ‘Solidariti 75 Tahun: Bersama Jernihkan Parti’ yang disiarkan melalui laman facebook UMNO-Online, malam tadi.
Kata Dr Asyraf, sebarang keputusan juga bukan boleh dibuat oleh jawatankuasa perunding atau individu yang berunding itu tapi harus kembali kepada parti untuk membuat keputusan dan diangkat ke perhimpunan agung.

“Inilah sebagaimana pengalaman kita dalam hubungan dengan PAS, diwujudkan jawatankuasa perunding oleh MKT, berunding dengan PAS dan dari situ kita setuju untuk mula menggerakkan program-program dia akar umbi yang dilaksanakan di Cawangan dan Bahagian sebelum kita bawa kepada MKT dan perhimpunan agung serta kemudiannya memetrai piagam Muafakat Nasional.”

Persoalannya kata beliau, dalam berhubungan dengan Dap dan PKR apakah ada sebarang mandat diberikan kepada sesiapa?

“Jawapannya tidak… kalau mandat sudah tidak ada maka apakah perundingan itu ada makna atau tidak? Tidak ada mandat, tidak pernah dibincangkan dan saya sebagai kepimpinan tertinggi parti yang ada dalam Jawatankuasa Pengurusan, Biro Politik dan juga MKT tapi tidak ada sekalipun kita membincangkan soal untuk memberikan mandat kepada sesiapa untuk berunding dengan Anwar Ibrahim atau dengan Dap.

“Oleh itu jika timbul tular katakan ada suara, audio yang kononnya orang-orang tertentu pun apa salahnya kerana perundingan itu hanya omongan kosong yang tidak membawa apa-apa makna kerana parti perlu membuat keputusan yang hanya dibuat dalam MKT.

“Tak perlu panjangkan perkara ini kerana orang yang mahu memanjangkan perkara ini mempunyai niat yang tidak baik iaitu mencetuskan prasangka yang akan menimbulkan kesangsian kepada kepimpinan yang akhirnya meruntuhkan kekuatan dan merobohkan kesatuan sehingga parti kita lemah.”

Justeru katanya, jika nak meraikan perbezaan seperti ini maka ia tidak akan menguntungkan sesiapa sebaliknya akan menghancurkan parti apatah lagi UMNO akan berhadapan dengan peperangan dalam pilihan raya nanti.

“Gendang perang akan dipalu pada bila-bila masa… adakah kita sanggup nak berhadapan dengan peperangan ini dengan keadaan nakhoda kita berantakan, kepimpinan kita pula entah kemana… ini semua adalah usaha yang sedang dilakukan oleh musuh.

“Ya kita tidak sempurna, kita ada noda dan dosa yang perlu kita akui kepada khalayak… kita muhasabah dan lihat kelemahan kita. UMNO ini bukan parti malaikat tetapi didukungi oleh manusia biasa yang ada kelemahan dan kecacatan tapi banyak juga jasanya yang tidak boleh dinafikan begitu saja.

“Mengapa tidak kita mengorak langkah ke depan dan melakukan perubahan, iaitu bermuhasabah mengakui kelemahan yang lampau, melakukan koreksi dan maju ke depan demi menjaga agama kita.”

Tegasnya lagi, UMNO bukan berpolitik hanya kerana kuasa sebaliknya matlamat utama adalah untuk perjuangan agama, bangsa dan tanah air.

“Kuasa itu bukan matlamat tapi kuasa hanya sebagai wahana untuk mencari redha Allah. Kalau nak kuasa kerana nak puaskan hati dan tembolok sahaja maka apakah kita akan sanggup hidup dalam keadaan hina dan dicaci?

“Kita tidak gunakan kuasa untuk kepentingan diri tapi untuk masa hadapan agama dan anak cucu kita di tanah air sendiri,” ujar beliau lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit