PAU 2020: Kenang Kembali Jasa UMNO Perjuangkan Nasib Orang Melayu – Tengku Adnan

KUALA LUMPUR, 25 Mac – Ahli UMNO diseru untuk mengimbas kembali sejarah penubuhan parti ini untuk mengenang semula jasanya sempena Perhimpunan Agung UMNO 2020 yang bakal berlangsung Sabtu dan Ahad ini.

Kata Bendahari UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, ini kerana UMNO merupakan parti yang begitu bermakna buat orang Melayu seiring dengan jasanya semenjak kemerdekaan sehingga negara mencapai kemajuan.

“UMNO juga merupakan parti yang banyak jasa, kena ingat balik tujuan UMNO ini ditubuhkan. Insya-Allah parti kita akan terus mencapai kecemerlangan.

“Sebagaimana kita tahu parti kita bukan dilahirkan di tepi jalan atau di tepi longkang tetapi parti kita dilahirkan di sebuah istana. Nama parti ini juga diberikan oleh orang-orang alim, parti kita parti keramat.

“Jangan lupa bahawa parti keramat ini ditubuhkan adalah untuk memastikan perjuangan agama, bangsa dan negara,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Putrajaya turut berharap perwakilan-perwakilan yang hadir pada perhimpunan ini dapat menggunakan manfaat perbahasan untuk dibawa ke bahagian masing-masing.

“Saya berharap kepada para perwakilan yang akan menghadiri mesyuarat UMNO melalui maya ini akan menggunakan pakai mesyuarat ini dengan sebaiknya,” ujarnya lagi.

Tengku Adnan turut berharap perjalanan perhimpunan agung ini berjalan lancar mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan bagi mengekang wabak COVID-19.

“Yang dapat hadir ke Pusat Dagangan Dunia Putra saya rayu mereka supaya dapat mengikut SOP yang telah ditetapkan oleh kerajaan.

“Walaupun persidangan kita merupakan persidangan mengikut norma baharu tetapi saya berkeyakinan ibu pejabat UMNO akan dapat melaksanakan tanggungjawab seperti apa yang dikehendaki oleh Perlembagaan UMNO dan juga dikehendaki oleh Pendaftar Pertubuhan Malaysia (RoS),” ujarnya. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit