Jadikan Perhimpunan Agung UMNO 2020 Pentas Kebersamaan, Julang Perjuangan Parti – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 25 Mac – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berharap Perhimpunan Agung UMNO 2020 yang akan diadakan pada hujung bulan ini menjadi pentas kebersamaan di kalangan ahli parti serta seluruh kepimpinan dalam usaha menjulang perjuangan parti berkenaan.

Menurut beliau walaupun para perwakilan tidak dapat hadir ke Dewan Merdeka di sini sepertimana kebiasaan sebelum ini, namun insya-Allah ianya akan tetap memberi manfaat yang cukup baik kepada semua walaupun masing-masing mengikuti Perhimpunan Agung UMNO 2020 secara maya.

“Alhamdulillah…Perhimpunan Agung UMNO 2020 yang terpaksa kita adakan pada tahun ini akhirnya telah dapat kita adakan. Walaupun sebahagian daripada kita tidak dapat hadir ke Dewan merdeka dan hanya dapat mengikuti siaran perhimpunan agung ini secara maya, tetapi insya-Allah ia akan dapat memberikan manfaat dan natijah yang banyak kepada kita semua.

“Malah saya harap ianya tidak akan mematahkan semangat kita semua untuk terus berjuang bagi memartabatkan UMNO di dalam serangan dan kepelbagaian kekangan yang kita hadapi,” katanya kepada UMNO-Online, di sini.

UMNO akan mengadakan perhimpunan agungnya bagi tahun 2020 pada 27 dan 28 Mac depan dengan suasana baharu.

Ahmad Zahid seterusnya berharap Perhimpunan Agung UMNO kali ini menjadi platform terbaik dalam memperlihatkan permuafakatan serta mengeratkan ukhuwah antara satu sama lain selain menjulang tinggi perjuangan parti.

“Saya amat berharap dan mendoakan agar Perhimpunan Agung UMNO 2020 ini akan menjadi pentas atau platform yang terbaik kepada seluruh para perwakilan dan juga ahli-ahli UMNO keseluruhannya untuk memperlihatkan kebersamaan serta memperkukuhkan ukhuwah dan perpaduan di kalangan ahli-ahli UMNO.

“Secara tradisinya perjuangan UMNO adalah untuk membela rakyat dan ingatlah kesetiaan serta keikhlasan dalam perjuangan kita adalah merupakan tunjang kepada kekuatan UMNO dan kita harap Perhimpunan Agung UMNO pada kali ini adalah merupakan titik baharu untuk kita terus menjulang tinggi di dalam persada politik tanah air.

“Marilah kita bersama-sama berdoa agar kita berada di dalam semangat juang yang kuat  dan tidak ada sebarang kekangan atau halangan yang akan menjadikan perhimpunan ini terus terbilang dan dapat  menjadi nadi kepada ahli-ahli UMNO dan suara kepada rakyat keseluruhannya. Selamat bersidang,” ujarnya. – UMNO Online

Oleh: Azman Abas

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit