Skuad Sabil Akan Bertugas Di Seluruh Negara, PAU Platform Terbaik Kukuhkan Parti

KUALA LUMPUR, 24 Mac – Skuad Sabil Malaysia bukan sahaja akan digerakkan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL) di sini pada 27 dan 28 Mac ini sebaliknya akan turut berada di seluruh bahagian sempena Perhimpunan Agung UMNO 2020.

Pesuruhjaya Skuad Sabil Malaysia, Datuk Mohamad Fazly Zainuddin berkata langkah berkenaan diambil seiring dengan perubahan dan pelaksanaan Perhimpunan Agung UMNO 2020 yang diadakan secara normal baharu tahun ini mengikut apa yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Perhimpunan Agung UMNO kali ini sangat berbeza dengan sebelum-sebelumnya. Skuad Sabil akan menekankan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Kita telah mengarahkan seluruh Skuad Sabil di seluruh bahagian untuk bertugas semasa PAU 2020 iaitu pada 27 dan 28 Mac ini. Kita mesti wajibkan pemakaian ‘pelitup muka’ dan juga menggunakan ‘My Sejahtera’ serta pastikan penjarakan sosial mestilah diikuti oleh semua perwakilan di bahagian-bahagian dan juga di PWTC,” katanya kepada UMNO-Online.

Tambahnya lagi, mereka yang terlibat perlu mengikut SOP yang ditetapkan bagi melancarkan perjalanan Perhimpunan Agung UMNO 2020.

“Kita mengharapkan agar Perhimpunan Agung UMNO ini dapat memperkasakan lagi parti menjelang pilihan raya yang akan datang.

“Bukan itu sahaja malah kita juga berharap PAU ini dapat memperkukuhkan parti UMNO dan kali ini UMNO mestilah menekankan bagaimana UMNO dan BN hendak memenangi PRU-15 (Pilihan Raya Umum ke-15) ini. Jadi saya yakin perwakilan UMNO di bahagian-bahagian dan jurucakap-jurucakap negeri akan menekankan kemenangan parti UMNO dan BN pada PRU-15,” katanya lagi.

Sementara itu Ketua Pemuda UMNO Negeri Johor, Mohd Hairi Mad Shah berkata Perhimpunan Agung UMNO ini adalah platform yang terbaik untuk masing-masing melontarkan pandangan dan sebagainya untuk kepentingan UMNO.

“PAU ini adalah medan dan platform yang terbaik kepada semua akar umbi mahupun Majlis Kerja Tertinggi UMNO.

“Gunakanlah satu platform ini bagi membincangkan atau menaikkan isu-isu tentang PRU-15 agar kesepakatan yang bakal dibentuk mahupun UMNO bertanding secara ‘solo’ ataupun bersama dengan Muafakat Nasional, dapatkanlah yang terbaik bagi membela dan menjaga hubungan yang baik khususnya untuk seluruh Malaysia.

“Kita seharusnya mencari satu titik persamaan dan satu kaedah kebersamaan pada semua ahli parti. Saya juga mengucapkan terima kasih kepada semua yang menjaga SOP. Kepada 191 bahagian UMNO seluruh Malaysia mengucapkan selamat bersidang,” ujarnya. – UMNO Online

Oleh: Amin Adnan

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit