Bersidang Dengan Norma Baharu, Wanita UMNO Manfaatkan Teknologi Digital

KUALA LUMPUR, 24 Mac – Saban tahun UMNO akan menyambut perhimpunan agung dengan penuh meriah dan dinanti-nantikan oleh ahli UMNO, tetapi kali ini ia cukup berbeza diadakan dalam situasi berhadapan dengan pandemik COVID- 19, kata Ketua Wanita UMNO Negeri Melaka, Datuk Latipah Omar.

Katanya, perhimpunan kali ini sememangnya agak luar biasa walaupun ia diadakan dalam suasana norma baharu namun akan memanfaatkan teknologi digital sebagai medium penghubung antara pemimpin serta ahli-ahli parti di setiap akar umbi.

“Kalau dulunya PWTC menjadi tumpuan tetapi kali ini atas sebab norma baharu dan COVID-19, akar umbi UMNO akan berada di bahagian masing-masing menyambutnya dalam keadaan berbeza mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.

“Saya berharap kita dapat bermesyuarah dalam keadaan baik dan moga-moga perhimpunan agung secara norma baharu dan maya ini dapat disambut dengan lebih baik lagi,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Dalam pada itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taboh Naning mengharapkan agar jurucakap dapat membahas dengan berhemah dan taat kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Saya mengharapkan kepada pembahas-pembahas bercakap dengan berhemah. Kalau boleh ‘wala’ kepada Presiden parti dengan cara penyampaian yang datang dari akar umbi dan bukannya datang atas arahan atau sesiapa,” ujarnya.

Bagi Ketua Wanita UMNO Perak, Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin berkata Wanita UMNO terkenal dengan sikapnya yang sentiasa komited dan setia bersama parti di kala susah ataupun senang.

“Dalam perjuangan tentulah ada matlamat. Untuk mencapai matlamat tentunya ada kaedah yang berbeza namun minat dan matlamat tetap satu. Matlamat kita supaya UMNO diterima rakyat. UMNO terus relevan, UMNO terus disegani dan dihormati oleh rakyat secara amnya.

“Walau apa jua pun cabaran dan sebagainya namun yang pasti semangat juang Wanita UMNO ataupun ‘ibu’ dalam UMNO ini akan terus mekar dan tetap bersama dengan parti. Kita bersemangat untuk terus bangkit bagi memastikan mencapai kejayaan walaupun dalam apa jua cara strategi … yang penting adalah matlamat.

“Saya berharap agar Wanita UMNO terus ‘solid’, kukuh dan akan terus bersama-sama dengan bahagian,” tegasnya. – UMNO Online

Oleh: Amin Adnan

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit