PAU 2020: Perkukuhkan Parti, Ketepikan Perbezaan Pendapat – Ir Abdul Aziz

KUALA LUMPUR, 23 Mac – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Sabah, Ir. Abdul Aziz Julkarnain mengharapkan agar ahli-ahli UMNO dan pimpinan teratas mengambil peluang untuk memperkasakan parti.

Ulasnya, perjuangan UMNO ini diyakini rakyat kerana ia mempunyai struktur yang kukuh di samping parti terus memperjuangkan nasib orang Melayu dan itulah asas penubuhannya sejak dahulu.

“UMNO ini kukuh kerana akarnya. Saya berharap kepada semua ahli-ahli akar umbi pada 27 dan 28 Mac ini sebagai medan untuk kita memperkukuhkan lagi parti dan menepikan segala persengketaan perbezaan pendapat.

“Kita perlu mengambil semangat perhimpunan agung ini dan turun ke bawah serta bersedia berkhidmat untuk masyarakat kerana tema UMNO dulu kini dan selamanya adalah sama iaitu sentiasa ‘Bersatu, Bersetia dan Berkhidmat’ kepada rakyat.

“Saya berharap pada perhimpunan agung ini sama ada di peringkat akar umbi sehingga Majlis Kerja Tertinggi UMNO mengambil peluang untuk memperkukuhkan parti. Ini adalah kali pertama kali kita berhimpun sebagai sebahagian daripada kerajaan selepas menjadi pembangkang selama 22 bulan,” katanya kepada UMNO Online, di sini hari ini.

Beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kota Kinabalu menjelaskan semasa UMNO menjadi kerajaan dahulu sentiasa menjaga kestabilan politik, memacu kemajuan ekonomi serta menegakkan syiar agama Islam.

“Semasa kita menjadi kerajaan terdahulu, kita selalu mengutarakan dan mengangkat usul-usul berkaitan lima perkara seperti pendidikan,sosial, agama, politik dan ekonomi.

“Usul-usul ini amat penting kerana ia adalah suara dari akar umbi untuk dijadikan satu panduan dan dasar kerajaan hari ini,” ujarnya. – UMNO Online

Oleh: Amin Adnan

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.