PAU 2020 Medan Terbaik Kita Bermuhasabah, Pegang Teguh Idealisme Perjuangan – Asyraf Wajdi

KUALA LUMPUR, 18 Mac – Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia berharap Perhimpunan Agung UMNO kali ini dijadikan medan terbaik untuk semua pihak dalam parti bermunasabah dalam menentukan hala tuju perjuangan parti keramat ini.

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata ini kerana perhimpunan agung merupakan alternatif terbaik kepada parti untuk menetapkan hala tuju dan objektif parti mendepani cabaran politik masa akan datang.

“Sudah tentu ini adalah medan terbaik untuk kita melakukan muhasabah. Sejauh mana kita semua berada pada landasan yang betul.

“Dalam erti kata memastikan idealisme perjuangan UMNO itu tidak sesekali dikorbankan dek suasana yang pelbagai,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Tambahnya lagi, perhimpunan ini juga merupakan kayu ukur kepada ahli parti untuk menyegarkan semula komitmen kepada perjuangan parti yang sebenar.

“Perhimpunan ini adalah acara terbaik untuk menyegarkan semula keazaman kita.

“Iltizam setiap daripada warga parti bagi mempertahankan agenda perjuangan dan melihat kembali bagaimanakah parti harus melangkah ke hadapan terutama dalam konteks suasana hari ini yang penuh mencabar dan politik yang begitu anjal sifatnya,” ujarnya.

Sementara itu, Asyraf turut berharap perhimpunan ini sebagai penyatuan parti untuk merangka persiapan ke arah Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

“Selain itu, ini adalah medan terbaik untuk kita menjelaskan dan memperhalusi secara tuntas, hala tuju kita terutamanya kita harus bersiap siaga dalam apa juga keadaan sekiranya gendang dipalu untuk kita berhadapan dengan peperangan sebenar iaitu PRU15.

“Benar kita telah melalui siri pilihan raya kecil, yang menyaksikan kita menang tapi saya sering mengingatkan rakan-rakan pemuda memenangi beberapa siri pertembungan belum menjamin untuk kita memenangi pertaruhan dalam medan peperangan yang sebenar,” tegasnya. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.