Ahli UMNO Sentiasa Teruja Ikuti Perhimpunan Agung UMNO, Wadah Perjuangan Bangsa

KUALA LUMPUR, 17 Mac – Pelbagai peringkat kepimpinan parti serta pimpinan di akar umbi malahan pendokong serta penyokong UMNO masing-masing telah merungkaikan hasrat dan keinginan mereka menjelang Perhimpunan Agung UMNO 2020 yang akan diadakan pada hujung bulan ini.

Berdasarkan peraturan yang ditetapkan oleh pihak kerajaan ekoran negara hari ini berdepan pandemik COVID-19 dan darurat, maka UMNO yang merupakan sebuah parti yang mendokong penuh soal kepatuhan undang-undang turut menjalankan perhimpunan agungnya berdasarkan kepada SOP tang telah ditetapkan.

Bagi Ketua Penerangan UMNO Kedah, Datuk Suraya Yaacob walau dalam apa jua keadaan ahli parti pelbagai peringkat dan di mana sahaja berada tentunya cukup teruja untuk turut bersama-sama pada Perhimpunan Agung UMNO 2020 yang menjadi wadah kepada perjuangan bangsa.

Menurut beliau masing-masing tentunya bukan sahaja ingin melihat malah ingin mengetahui apa yang akan berlaku dan apa yang akan disampaikan oleh pucuk pimpinan pada Perhimpunan Agung UMNO secara maya kali ini.

“Saya kira walaupun dalam keadaan ‘new normal’ dan sungguh berbeza yang mana yang ada di PWTC hanya ada ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) dan juga sayap-sayap, kebanyakan yang saya jumpa cukup bersemangat untuk mendengar dan melihat kembali apa yang akan berlaku pada Perhimpunan Agung UMNO pada hujung bulan ini.

“Perkara-perkara yang hendak dilihat ni adalah hala tuju menuju kepada pilihan raya dan disebabkan itu ramai yang sungguh bersemangat dan ingin bersama walaupun dalam maya,” katanya kepada UMNO-Online.

UMNO akan mengadakan perhimpunan tahunan bagi tahun 2020 secara maya pada 27 dan 28 Mac ini dengan suasana baharu.

Suraya yang juga MKT UMNO seterusnya menambah selaras dan sejajar dengan usia parti itu yang akan menyambut Jubli Intan sempena 75 tahun perjuangannya di dalam persada politik tanah air, tentunya Perhimpunan Agung UMNO 2020 juga mempunyai signifikan yang tersendiri.

“Itu juga akan memberi tambahan semangat untuk kita menuju 75 tahun perjuangan dan percaya Perhimpunan Agung UMNO 2020 ini merupakan titik tolak permulaan untuk terus kita bersemangat sehingga Mei yang akan datang.

“Harap semua ahli UMNO dapat bersama secara maya untuk sama-sama memberikan semangat dengan masing-masing berpakaian merah sepanjang 27 dan 28 Mac ini walaupun di mana anda berada… ke pejabat pakai baju merah… duduk bersama keluarga pakai baju merah dan sebagianya… jika ini kita boleh lakukan itu menunjukkan kita cukup bersemangat untuk bersama dan terus berjuang dengan UMNO,” tambahnya lagi. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.