Kelainan PAU 2020, Norma Baharu Tak Halang Semangat Penyatuan , Pengukuhan UMNO
KUALA LUMPUR, 16 Mac – Perhimpunan Agung UMNO 2020 dianggap luar biasa kerana buat pertama kali melibatkan penganjuran secara bersemuka dan juga maya.
Bagi Ketua Pemuda UMNO Bahagian Langkawi, Ahmad Marzuki Shariat, beliau berkata pelaksanaan secara maya ini wajar dilakukan memandang negara masih berhadapan dengan pandemik COVID-19.
“Ini perhimpunan agung yang agak unik kerana kita menghadapi penularan COVID-19,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Ahmad Marzuki turut mengingatkan ahli yang hadir ke bahagian masing-masing untuk patuh kepada prosedur standard operasi (SOP).
“Walaupun kali ini perhimpunan banyak menggunakan maya tapi di bahagian kita mesti ikut SOP sepenuhnya dari segi penjarakan, pakai pelitup muka dan sebagainya. Kita jaga kita,” ujarnya.
Saranan tersebut turut mendapat perhatian daripada Ketua Penerangan Pemuda UMNO Pulau Pinang, Alif Ashraf Abdul Rahim, beliau berharap ahli yang hadir dapat menghayati usul yang dibahaskan di samping mematuhi sop.
“Begitu juga diperingkat negeri masing-masing yang mana kali ini kali pertama dalam sejarah di mana persidangan kali ini dilakukan secara aras talian.
“Saya harap mesyuarat kali ini dapat berjalan dengan lancar dan kita sama-sama dapat mengambil peluang ini dan melibatkan diri tanpa ada halangan,” katanya.
Pandangan sama diberikan oleh Ketua Pemuda UMNO Bahagian Seremban, Zool Amali Hussin, beliau berkata pelaksanaan secara maya ini tidak membataskan semangat perwakilan untuk bersama-sama mengikuti perhimpunan agung.
“Walaupun pada perhimpunan nanti kita akan melakukannya secara maya tapi itu tidak membataskan untuk kita berjuang. Memberi kata-kata semangat kepada semua pejuang-pejuang UMNO seluruh Malaysia,” katanya. – UMNO Online
Oleh: Nurul Saadah Latib