Kuatkan Parti UMNO, Terus Yakinkan Rakyat – Johari Abdul Ghani
KUALA LUMPUR, 15 Mac – Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 adalah sangat penting kerana pertama kalinya melibatkan beberapa penangguhan, ujar Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Katanya, beliau berharap ia dapat menumpukan perhatian di dalam memperkukukan parti dan seterusnya mampu meyakinkan rakyat akan kelebihan yang ada pada UMNO.
Menurut Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO itu juga, hanya UMNO sahaja yang mempunyai sejarah membangunkan negara selama 61 tahun sehingga terbentuknya satu gagasan ekonomi yang sangat maju dan negara ini menuju ke arah kemajuan.
“Kita telah tangguh sampai tiga kali. Harap-harap kali ini kita akan dapat menyelesaikan PAU 2020 ini supaya selepas ini kita akan menumpukan perhatian menguatkan parti UMNO dan terus menyakinkan masyarakat Malaysia.
“Betapa pentingnya UMNO ini diberi mandat semula untuk mentadbir negara dan kita juga akan memastikan bahawa setiap daripada kita belajar dari kesilapan yang lalu. Sudah tentunya pengalaman yang kita ada selama 61 tahun sebagai kerajaan ianya akan memberi satu ‘advantage’ (kelebihan) kerana kita telah melalui selama 22 bulan sebagai pembangkang,” katanya kepada UMNO Online, di sini.
Beliau yang juga mengharapkan agar ahli-ahli UMNO kena berganding bahu untuk menguatkan UMNO supaya di mata masyarakat umum melihat bahawa tidak ada parti lain yang boleh menggantikannya.
“Jadi nasihat saya kita gunakan sebaik mungkin menyantuni semua ahli-ahli UMNO dan juga kita lupakan perbezaan pendapat di antara ahli-ahli UMNO kerana UMNO tidak mampu lagi untuk berpecah sesama kita.
“Tapi…malangnya kita terbantut kerana cubaan yang telah dibuat oleh rakyat Malaysia secara keseluruhannya untuk memberi peluang kepada parti-parti lain tetapi parti-parti itu sebenarnya gagal. Jadi… hari ini kita nak bina semula balik negara kita khususnya dari segi ekonomi yang telah ‘terkebelakang’,” katanya lagi.
Seterusnya Johari yang juga Ketua UMNO Bahagian Titiwangsa merasa yakin jika negara ini stabil dan pelabur-pelabur asing akan terus melabur di sini.
“Ekonomi jatuh merudum, tahap pengangguran semakin meningkat, pelabur-pelabur asing hilang keyakinan kepada negara kerana kestabilan politik yang tidak menentu. Tiap-tiap hari kita bercerita soal “bila nak pilihan raya”.
“Bila ‘start’ (mula) setiap kali rakyat bercerita bila nak pilihan raya ia menunjukkan negara ini tidak stabil. Kalau rakyat sendiri sudah merasakan tidak stabil bagaimana pelabur-pelabur di luar sana ingin merasakan kestabilan tersebut,” ujarnya.
Inilah mesej yang paling penting dan perlu diberitahu kepada ahli-ahli UMNO bahawa UMNO dulu, kini dan selama-lamanya bersama-sama rakyat, tegasnya lagi. – UMNO Online
Oleh: Amin Adnan