Hayati Perjuangan Untuk Berkhidmat Pada Rakyat, Ketepikan Kepentingan Peribadi – Tengku Adnan

KUALA LUMPUR, 15 Mac – Bendahari UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menekankan pentingnya memahami perjuangan dengan penghayatan terhadap cintakan tanah air dan berkhidmat untuk rakyat.

Dalam hal ini beliau merujuk kepada langkah kerajaan China yang membuat resolusi menentukan kepada sesiapa yang hendak menawarkan diri untuk menjadi wakil rakyat di Hong Kong mestilah mempunyai sifat yang sayangkan negara dan Bangsa China.

“Sekarang dalam negara panas isu Pemastautin Tetap (Permanent Resident/PR) dan juga lompat parti dan di luar negara pula China telah luluskan resolusi yang dianggap kontroversi iaitu ‘pemerintahan patriot Hong Kong’ yang akan memperketat kawalan terhadap bandar itu.

“Saya secara amnya amat setuju dengan langkah kerajaan China. Inilah perkara yang mesti kita ambil dan kaitkan dengan apa yang berlaku kepada situasi dalam negara kita.

“Lihatlah sejak kebelakangan ini apabila ada individu yang menawarkan diri untuk menjadi wakil rakyat hanya kerana mementingkan ideologi sendiri, mahukan sama rata dan menuntut banyak kebebasan atas macam-macam alasan. Inilah masalahnya apabila gagal menghayati konsep negara bangsa pembinaan Malaysia.

“Sepatutnya, semua warga Malaysia maklum bahawa negara ini hanya akan berjaya jika kita memahami demografi rakyatnya yang berbilang kaum, berlainan agama dan memiliki cara kehidupan yang berbeza. Kita masyarakat majmuk yang hidup atas kebersamaan kesatuan dalam kepelbagaian. Bukannya menuntut hak masing-masing yang hanya akan merosakkan kesejahteraan,” katanya dalam kenyataan menerusi laman facebooknya hari ini.

Jelas beliau yang juga Ahli Parlimen Putrajaya, rakyat pun belum matang malah konsep demokrasi di negara kita adalah demokrasi yang terpimpin, bukan demokrasi mutlak.

“Tugas wakil rakyat juga bukan saja untuk berkhidmat atau memberikan bantuan tapi juga mesti menunjukkan kefahaman, bukan dari segi ideologi saja tapi juga tindakan.

“Sayangkan negara, melaksanakan tanggungjawab dan amanah kepada rakyat yang telah memilihnya, membawa perubahan dan berani membela masyarakat setempat adalah keutamaan wakil rakyat.

“Janganlah jadikan rakyat sebagai percaturan batu loncatan untuk kepentingan peribadi sendiri. Kita lihat sahaja kepada parti-parti tertentu yang kebanyakan wakil rakyatnya bukan dari kawasan yang dia wakili, lepas satu pengal berubah atau berpindah ke kawasan lain meninggalkan janji pilihan raya tidak ditunai,” katanya.

Berhubung hal ini, beliau mengambil contoh bagaimana tindakan wakil rakyat yang berhijrah dari satu parlimen ke parlimen lain setiap kali pilihan raya misalnya dari Parlimen Kota Melaka ke Petaling Jaya, kemudian ke beralih ke Utara di Parlimen Tanjong, berpindah ke Ipoh Timur dan selepas itu ke Selatan di Gelang Patah dan Iskandar Puteri.

“Ada juga yang dari Kota Raja ke Ampang dan kemudian ke Kuala Langat tapi melompat pula menyokong pihak lain selepas pengundi memilihnya atas parti yang didukung sebelum ini.

“Apa jasa dan khidmat kepada rakyat setempat? Kelirukan masyarakat, lakukan manipulasi dan persepsi, tuduh itu ini dalam Parlimen dan kemudian catur semula mana kawasan yang boleh dimenangi.

“Sedangkan kepedulian mesti kepada rakyat di tempat tinggal mereka, menyelami dan memahami maka barulah tahu apa yang terbaik untuk rakyat. Bukan mencipta manipulasi atas nama iltizam globalisasi tapi rakyat terpaksa jadi galang ganti mangsa politik peribadi.”

Katanya, jika melihat kepada tindakan wakil rakyat yang tak matang dan gagal menghayati makna sebenar perjuangan, maka saya agak risau sekiranya hak mengundi umur 18 tahun dilaksanakan.

“Apatah lagi sebelum ini pengundi juga pernah memilih wakil rakyat orang muda dan menjadi menteri termuda namun malangnya gagal pula menjadi ikon yang wajar dicontohi.”

Sehubungan itu, beliau mengajak agar semua pihak ketepikanlah emosi kerana amanah wakil rakyat bukan hanya menjaga rakyat tapi juga membina negara.

“Janganlah mudah terikut-ikut dengan acuan luar kerana Malaysia terbina atas Perlembagaan sendiri, bukan dari negara-negara Barat atau mana-mana pihak pun. Mahukan negara maju mestilah berteraskan rakyat yang matang dan rakyat sendiri juga mesti bijak menilai kerana kesannya bukan hanya bangsa dan negara malah agama juga jadi permainan.

“Barangkali kerana itulah, resolusi ‘pemerintahan patriot Hong Kong’ diluluskan di Parlimen dengan 2,895 melakukan pengundian dan tiada undian yang menentang kerana melalui resolusi calon yang dipilih mentadbir Hong Kong, mesti mencintai negara China dan menjunjung Perlembagaan pemerintah,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit