Kekalkan Keharmonian Ahli Antara Keutamaan UMNO Perkukuh Parti – Jamil Khir

ALOR STAR, 14 Mac – Kekuatan UMNO adalah bersandarkan kepada perpaduan dalam kalangan ahli partinya yang menjadi tonggak kepada keutuhan parti keramat ini, kata Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Katanya, ini kerana bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang dijangka akan berlaku pada bila-bila masa, maka keharmonian amat penting dan harus dikekalkan.

“Kita haruslah memastikan PRU-15 ini kita mesti mencapai kejayaan dan kecemerlangan.

“Kunci besar yang kita ada tidak lain dan tidak bukan adalah kita menjaga perpaduan yang kita miliki, inilah kekuatan yang kita ada,” katanya.

Tambah beliau, hal ini kerana dalam mendepani dengan pilihan raya hanya dua kemungkinan sahaja yang akan berlaku, iaitu sama ada memperoleh kemenangan ataupun kekalahan.

“Pada saya dalam kamus politik pilihan raya tidak ada naib juara, tidak ada pemenang naib johan.

“Apa sekali pun kita mesti mendapat johan, kita kena jadi juara kepada keputusan PRU-15 yang akan datang,” tegasnya.

Beliau berkata demikian semasa menghadiri Program Bangkit 15 Negeri Perlis dan Kedah yang turut dirasmikan oleh Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam. Turut hadir Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim.

Sementara itu, bagi Shahidan beliau bersedia untuk membantu Kedah memperkuatkan jentera parti sebagai persiapan dalam menghadapi PRU-15.

Katanya, perancangan ini amat penting bagi memastikan UMNO kekal relevan dan perkasa untuk menawan hari rakyat di negeri ini.

“Perlis akan tolong Kedah dengan hebatnya agar semua bahagian-bahagian Parlimen diperkasakan. Saya sebagai Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan ini cari jalan bagaimana hendak memperkasakan semua bahagian.

“Kita sudah nampak dah jalan, kita akan mula serta merta semua bahagian. Sebab tu kita tengok, bila perkasa hendak lawan pilihan raya kita menang tapi kalau sebaliknya kita tak menang,” katanya lagi. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit