Perhimpunan Agung UMNO Normal Baharu Bukan Penghalang Suntik Semangat – Khairi

KUALA LUMPUR, 12 Mac – Perhimpunan Agung UMNO yang akan diadakan pada hujung bulan Mac ini walaupun secara normal baharu ianya bukanlah penghalang malah sebenarnya dapat menyuntik semangat yang cukup tinggi kepada ahli parti di seluruh negara dalam senario pilitik semasa.

Ketua UMNO Iskandar Puteri Mohamad Khairi A. Malik berkata semangat yang tinggi di kalangan ahli parti sememangnya tidak dapat dinafikan malah perhimpunan secara normal baharu tidak akan mematahkan semangat mereka dalam memperjuangkan parti.

Menurut beliau kata-kata semangat dan ucapan daripada pucuk pimpinan boleh disalurkan menerusi maya dan teknologi yang ada hari ini sudah pasti ianya akan memudahkan segala perancangan yang diatur untuk dilaksanakan kelak.

“Walaupun pada dasarnya dari segi ‘new normal’, semangat itu tidak dapat dibina kerana ianya tidak berada di dalam satu kelompok yang ramai secara bersama tetapi semangat itu mungkin boleh disalurkan melalui ucapan-ucapan secara ‘online’ yang boleh didengar di peringkat bahagian-bahagian dan mudah-mudahan perhimpunan secara ‘new normal’ ini tidak mematahkan semangat ahli-ahli UMNO.

“Ini penting supaya kita dapat menyerap keadaan baru ini dengan segera, dengan cepat serta pantas supaya kita dapat menjayakan banyak perkara-perkara yang boleh kita salurkan di peringkat akar umbi,” katanya kepada UMNO-Online.

Tambah Khairi walaupun perwakilan tidak dapat turun ke Kuala Lumpur sepertimana kebiasaan sebelum ini, mudah-mudahan semangat yang ada tidak luntur malah sebaliknya berkobar-kobar dengan perkembangan politik semasa negara hari ini.

“Jangan kita ramai-ramai tidak dapat ke Kuala Lumpur maka kita tidak dapat nak menjayakan dan menimbulkan semangat yang berkobar-kobar kerana setiap kali perhimpunan agung, tentunya kita balik dengan semangat yang berkobar-kobar mahu bawa balik ke bahagian masing-masing.

“Kali ini ‘new normal’….perhimpunannya sudah berbeza. Mudah-mudahan semangat ini tidak luntur dengan normal baharu dan kita kena cepat terima keadaan dan hakikat pada hari ini,” ujarnya.

Dalam perkembangan sama beliau penuh yakin akar umbi akan menerima dan akur dengan sebarang keputusan yang ditetapkan oleh parti.

“Akar umbi kita percaya dan penuh yakin mereka sebenarnya akur dengan apa yang telah diputuskan di peringkat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) dan itu adalah keputusan paling tinggi yang kita di akar umbi kena melihat bahawa ianya mesti diikuti.

“Insya-Allah saya percaya kepimpinan akan meneliti perkembangan ini dari semasa ke semasa dan saya percaya kalau perkara yang diputuskan MKT ini memang sangat baik untuk kita berdepan PRU kita tidak ada masalah untuk menerima keputusan berkenaan tetapi dari semasa ke semasa mungkin ada difikirkan nanti ada perkara-perkara baru yang boleh memberikan keputusan sebaliknya dan jika itu boleh membantu kemenangan BN (Barisan Nasional), kita sentiasa mengalu-alukan supaya MKT sentiasa terbuka dalam perkembangan-perkembangan terkini yang boleh membawa kejayaan kepada BN.

“Maksudnya bukan apa yang diputuskan pada hari ini mestilah kekal sampai bila-bila dan saya percaya bahawa kita mesti progresif, mesti peka, mesti sensitif dan melihat di mana peluang yang terbaik untuk kita menang. Kalau ianya membolehkan kita menang kita terpaksa ubah keputusan-keputusan yang telah kita buat  apa salahnya kita ubah tetapi kalau kita merasakan keputusan hari ini keputusan terbaik untuk kita menang pilihan raya teruskan dan kita sentiasa ikut apa sahaja keputusan MKT,” ujarnya. – UMNO Online

Oleh: Azman Abas

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit