Kekal Persefahaman, UMNO PAS Tidak Layan Sebarang Unsur Provokasi – Dr Asyraf

KUALA LUMPUR, 12 Mac – Dalam Mesyuarat Jawatankuasa Induk Perundingan Muafakat Nasional UMNO-PAS dua malam lepas, kepimpinan tertinggi parti kedua-dua pihak bersetuju untuk tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh mengguris perasaan masing-masing.

Kata Ketua Pemuda UMNO Malaysia Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, kedua-dua parti juga tidak melayani sebarang unsur provokasi yang boleh merenggangkan hubungan yang sudah terjalin.

“Jika hendak diungkit segala permasalahan dan peristiwa lampau, sudah tentu masing-masing boleh menyelongkar 1,001 cerita-cerita pahit dan perit yang dialami.

“Sebab itulah, waktu kita mula menggerakkan agenda Penyatuan Ummah dengan lebih 800 program di peringkat bahagian dan kawasan sepanjang 18 bulan, sebelum memeterai Piagam Muafakat Nasional pada 14 September 2019,” ujarnya dalam satu entri di Facebook.

Jelasnya juga, ini berpandukan kepada surah Ali-Imran ayat 103, bagaimana Allah menurunkan ayat ini untuk mengisyaratkan bagaimana Aus dan Khazraj pada awal penghijrahan Nabi S.A.W. yang sudahpun berjaya disatukan hati-hati mereka akhirnya hampir-hampir berantakan kembali, hanya kerana termakan dengan adu-domba dan hasutan mereka yang cuba menghimbau sejarah hitam lampau kerana tidak senang dengan permuafakatan yang terjalin.

وَاعْتَصِمُوا بِحَبْلِ اللَّهِ جَمِيعًا وَلَا تَفَرَّقُوا ۚ وَاذْكُرُوا نِعْمَتَ اللَّهِ عَلَيْكُمْ إِذْ كُنْتُمْ أَعْدَاءً فَأَلَّفَ بَيْنَ قُلُوبِكُمْ فَأَصْبَحْتُمْ بِنِعْمَتِهِ إِخْوَانًا وَكُنْتُمْ عَلَىٰ شَفَا حُفْرَةٍ مِنَ النَّارِ فَأَنْقَذَكُمْ مِنْهَا ۗ كَذَٰلِكَ يُبَيِّنُ اللَّهُ لَكُمْ آيَاتِهِ لَعَلَّكُمْ تَهْتَدُونَ

“Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai berai, dan ingatlah akan nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (masa Jahiliyah) bermusuh-musuhan, maka Allah mempersatukan hatimu, lalu menjadilah kamu karena nikmat Allah, orang-orang yang bersaudara; dan kamu telah berada di tepi jurang neraka, lalu Allah menyelamatkan kamu dari padanya. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepadamu, agar kamu mendapat petunjuk.”UMNO ONLINE

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit