Isu Kalimah Allah; Segerakan Proses Rayuan, JAKIM Perlu Perkemas Usaha Pendidikan
SEMALAM Mahkamah Tinggi Malaysia telah memutuskan bahawa Kalimah Allah, Kaabah, Solat dan Baitullah dibenar penggunaanya dalam sebarang penerbitan bagi tujuan pendidikan Agama Kristian
Isu ini merupakan isu yang panjang, seingat saya sekitar tahun 2009 lagi. UMNO sebagai parti yang menguasai kerajaan pada ketika itu dengan keras mempertahankan keputusan Kementerian Dalam Negeri melarang penggunaanya bagi apa jua bahan penerbitan yang berkait dengan Agama Kristian khususnya di Semenanjung.
Ini juga merupakan salah satu isu yang menyebabkan pada pilihanraya berikutnya, sokongan kepada Barisan Nasional khususnya di kalangan masyarakat bukan Islam di Semenanjung merosot dengan teruk kerana UMNO di tuduh sebagai pembuli dan menggunakan agama untuk meraih undi Orang Melayu/Islam.
Sebagai Warganegara yang mendukung konsep keluhuran undang-undang, buat masa ini keputusan mahkamah ini perlu diakuri.
Inilah jua situasi yang dihadapi Kerajaan Negeri Pahang apabila proses mengambil tindakan terhadap tanah haram yang diteroka diarahkan ditangguhkan oleh Mahkamah.
Dalam sistem negara ini, keputusan dan arahan Mahkamah mengatasi mana-mana kuasa yang dimiliki oleh pihak eksekutif samaada Perdana Menteri ataupun Menteri Besar.
Berbalik kepada isu di atas, orang Islam di Malaysia bahkan kami ahli UMNO tidak membenci masyarakat beragama Kristian. Mereka bebas menganut dan mempraktikkan ajaran agama yang dianuti dengan bebas. Malah di bandar kecil seperti di tempat kelahiran saya di Kuala Lipis,
Gereja Kristian wujud dan beroperasi tanpa gangguan dan penganutnya bebas hidup secara harmoni bersama Masyarakat Islam yang membentuk majoriti.
Kita juga memahami bahawa di Sabah dan Sarawak, penggunaan kalimah-kalimah di atas di kalangan penganut Kristian merupakan suatu kebiasaan. Ini disandarkan kepada sejarah pengembangan agama tersebut di negeri-negeri itu serta jumlah populasi penganutnya yang hampir sama ramai (malah di Sarawak melebihi) berbanding penganut Agama Islam.
Bagi Umat Islam yang memiliki ilmu yang tinggi dalam pengajian agama, mereka juga memahami bahawa terdapat hujah yang membolehkan dan hujah yang melarang penggunaan kalimah-kalimah di atas di kalangan penganut agama lain terutama dari golongan Yahudi dan Nasrani.
Walau bagaimanapun, bantahan kita umat Islam khususnya di Semenanjung adalah disebabkan kita merasakan amalan dan apa yang telah dipratikkan selama ini di negara inilah yang menyelamatkan Malaysia dari ancaman ekstremis agama, menjaga perpaduan dan keharmonian sesama kita.
Bukan sahaja penggunaan Kalimah Allah di kalangan Penganut Agama Kristian. Malah Pentadbiran dan Urusan Agama Islam di Malaysia ini boleh dikatakan hanya berasaskan kepada Fahaman Mazhab Syafie, walapun kita menerima amalan Mazhab Sunni yang lain serta pelbagai jenis amalan dan tarekat selain dari Fahaman Syiah.
Ini bukan sahaja bertujuan untuk mewujudkan keseragaman, tetapi menjaga keharmonian dan mengelak salah faham serta memastikan mereka yang walaupun hanya memiliki ilmu asas dalam Islam boleh mempraktikkan ajarannya dengan baik.
Untuk itu kita berharap, proses rayuan oleh kerajaan terhadap keputusan ini di buat segera.
Kita juga mendesak pihak JAKIM, mengambil kira keputusan mahkamah semalam segera merangka proses penerangan, pendidikan dan dakwah yang sesuai dengan perkembangan ini.
Selamat Menyambut Isra’ Mikraj.
Mohd Farid Mohd Nor
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Pahang