Kenyataan Kadir A. Jasin Tidak Bertanggungjawab, Hina Institusi Diraja – Mohd Hairi

KUALA LUMPUR, 24 Feb – Pemuda UMNO Johor melihat kenyataan dikeluarkan Kadir A. Jasin dalam laman Facebooknya bertajuk ‘Cerita Rakyat dan Payung Mahkota’ semalam adalah tidak bertanggungjawab dan satu bentuk penghinaan terhadap Institusi Diraja.

Juteru Ketuanya, Mohd Hairi Mad Shah mengecam keras tindakan Kadir A. Jasin mengeluarkan kenyataan sedemikian dan ia  tidak sepatutnya dikeluarkan oleh seorang yang bergelar Tokoh Wartawan.

“Pertama, ayat ‘kita tentu masih ingat peranan Majlis Raja-raja masa kes 1MDB (1Malaysia Development Berhad) tengah memuncak pada tahun 2015’, dalam kenyataan dimuat naik di Facebook beliau menunjukkan jelas satu bentuk tuduhan atau jangkauan persepsi buruk terhadap Institusi Diraja dengan mengaitkan Majlis Raja-raja sebagai berperanan ketika kes 1MDB pada tahun 2015.

“Kedua, ayat ‘sedikit sebanyak, jika perbahasan dalam masyarakat mengenai darurat dan penggantungan Parlimen ini tidak diatasi, kedudukan institusi raja akan turut dilibatkan,’ juga dilihat sebagai seolah-olah Kadir A. Jasin menghasut dan mengugut akan membabitkan kedudukan Institusi Diraja jika penggantungan Parlimen yang berlaku ketika ini tidak diatasi,” katanya dalam satu kenyataan media kepada UMNO Online, hari ini.

Hairi seterusnya berkata Pemuda UMNO Johor menghormati dan memegang prinsip kebebasan bersuara dalam sebuah negara demokrasi, tetapi sebagai ‘orang lama’ dalam bidang penulisan, Kadir A Jasin sepatutnya tahu garis batasan yang tidak patut ‘dicuit’ dalam penulisan beliau termasuk mempersoal dan menghina Institusi Diraja.

“Ini bukan kali pertama Kadir A. Jasin melakukan tindakan seperti ini dan pada tahun 2018 juga beliau pernah dikecam dan ramai pihak meminta Tokoh Wartawan Veteran ini disiasat berhubung artikelnya yang didakwa menghina dan memburukkan Institusi Diraja terutama Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah,” katanya.

Justeru, tambah Hairi lagi Pemuda UMNO Johor menggesa pihak berkuasa untuk bertindak dan mengambil tindakan terhadap Kadir A. Jasin yang sekali lagi menulis tanpa tanggungjawab serta membuat prasangka buruk terhadap Institusi Diraja di negara ini. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.