Malaysia Terima 182,520 Dos Tambahan Vaksin Covid-19 Pfizer-Biontech Esok

PUTRAJAYA, 23 Feb – Malaysia akan menerima 182,520 dos tambahan vaksin COVID-19 jenis Pfizer-BioNTech esok (Rabu), untuk edaran ke negeri-negeri yang belum menerima bekalan, kata Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin.

Beliau yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata, vaksin berkenaan yang dikeluarkan di Belgium dijadualkan tiba melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada sebelah pagi dari Singapura.

“Vaksin yang bakal tiba ini akan dihantar ke negeri-negeri yang belum menerima bekalan,” katanya dalam sidang media selepas melakukan simulasi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan di sini, hari ini.

Khairy berkata, vaksin itu akan diedarkan ke Kedah, Melaka, Negeri Sembilan dan Perak esok (Rabu, 24 Feb), manakala Pahang, Terengganu, Kelantan, Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan pula, pada Khamis (25 Feb).

Kumpulan pertama bekalan vaksin Pfizer-BioNTech melibatkan 312,390 dos selamat tiba di Malaysia melalui pintu masuk negara di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang; Johor dan Pulau Pinang pada 21 Feb (Ahad).

Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan dilaksanakan dalam tiga fasa bermula 24 Feb ini, dengan Fasa 1 dari Feb hingga April 2021 untuk kumpulan petugas barisan hadapan melibatkan 500,000 orang.

Fasa 2 pula iaitu dari April hingga Ogos membabitkan kumpulan warga emas berumur 65 tahun ke atas, golongan berisiko tinggi serta orang kurang upaya melibatkan 9.4 juta orang, manakala Fasa 3 dari Mei 2021 hingga Feb 2022 untuk penduduk di Malaysia berumur 18 tahun ke atas – warganegara dan bukan warganegara – dengan sasaran lebih 13.7 juta orang.

Khairy sebelum ini dilaporkan berkata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah, akan menjadi antara penerima pertama suntikan vaksin COVID-19 pada Rabu ini, yang menandakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan dimulakan lebih awal daripada jadual asal pada 26 Feb. – BERNAMA

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit