Lima Dasar Utama BN Yang Mensejahterakan Rakyat

Ya! Kerajaan BN terdahulu bukanlah sempurna. Banyak kekurangan dan tidak terlepas melakukan kesilapan.

Cuma, tiada siapa yang boleh menafikan bahawa kekuatan negara sebelum ini adalah kerana dasar Kerajaan yang diterajui Barisan Nasional yang mengutamakan KESEJAHTERAAN RAKYAT tanpa mengira kaum dan Agama yang menjadi resepi KESTABILAN DAN KEHARMONIAN negara.

Antara dasar-dasar penting termasuklah:

1. JANA KEKAYAAN UNTUK DIAGIHKAN KEPADA RAKYAT
Pelbagai dasar Kerajaan BN terdahulu memfokuskan untuk menggalakkan pelaburan domestik dan luar negara melalui GLC/GLIC bagi memastikan pertumbuhan ekonomi meningkat dan kekayaan dapat dijana.

Sebab itulah Bursa Saham sepanjang BN memerintah mencatatkan keuntungan tinggi yang menyaksikan syarikat-syarikat berkembang dan dividen-dividen tabung simpanan rakyat seperti Tabung Haji, ASB, KWSP, LTAT, KWAP juga tinggi!

2. FOKUS PERTUMBUHAN DENGAN MEMBANGUNKAN INFRASTRUKTUR RAKYAT

Pembangunan infrastruktur rakyat sentiasa menjadi keutamaan dasar pertumbuhan ekonomi Kerajaan BN seperti pembinaan Lebuhraya Pan Borneo, ECRL, HSR, MRT1 dan MRT2 ternyata mampu menjana pertumbuhan ekonomi hingga kesan gandaannya kepada segenap sektor termasuk perusahaan kecil dan sederhana hingga mencipta banyak peluang-peluang pekerjaan baharu sekaligus menurunkan kadar pengangguran rakyat.

Malah pengenalan Dasar Gaji Minima, telah mula menampakkan gaji purata rakyat kian meningkat manakala jurang pendapatan iaitu pekali kini semakin menurun.

3. DASAR LUAR YANG SEIMBANG DAN PROGRESIF

Hubungan baik dengan pelbagai kuasa ekonomi dunia yang seimbang dan progresif termasuk Amerika Syarikat, China, Jepun, India, Arab Saudi dan Eropah telah memungkinkan pelbagai kerjasama pelaburan yang menguntungkan negara.
Pemimpin-pemimpin besar seperti Presiden Amerika Syarikat, Presiden China, Raja Arab Saudi berkunjung ke Malaysia dan mengumumkan kerjasama ekonomi yang amat memberi impak besar kepada Negara. Contohnya, Raja Arab Saudi sendiri datang mengumumkan Projek RAPID di Pengerang RM31 bilion di samping kerjasama lain, Presiden China lawati Malaysia dan menjadi rakan perdagangan ke-4 terbesar Malaysia.

Komoditi utama negara seperti minyak sawit dapat dipasarkan ke pasaran-pasaran utama. Malaysia juga dihormati antara peneraju negara serantau ASEAN dalam banyak aspek termasuk kestabilan dan demokrasi.

4. DASAR PERCUKAIAN YANG PROGRESIF

Apabila GST diperkenalkan Kerajaan BN, matlamat utama antaranya untuk memastikan keadilan dalam sistem percukaian negara seiring dengan inisiatif hampir keseluruhan negara di dunia. Prinsip GST berbanding SST membolehkan orang kaya membayar GST lebih kerana lebih banyak berbelanja berbanding orang miskin. Kelompongan dalam ekonomi (Black Economy) akibat kegagalan mereka yang tidak bayar cukai di kalangan peniaga-peniaga kaya juga dapat diatasi.

Cukai pendapatan dapat dikurangkan agar rakyat mempunyai lebih pendapatan untuk dibelanjakan (disposable income). Malah kebergantungan kepada hasil minyak Petronas dapat dikurangkan. Dasar percukaian progresif ini juga membolehkan defisit fiskal negara dikawal. BN juga memperkenalkan mekanisme mengagihkan lebihan hasil GST kepada golongan B40 melalui BR1M serta bantuan-bantuan lain dan jumpah ini lebih tinggi berbanding cukai GST yang dibayar golongan ini (Cukai pendapatan juga dikecualikan kepada rakyat bergaji RM4,000 sebulan).

5. DASAR MEMBELA SEMUA KAUM TANPA MENAFIKAN SIFAT KEINDUKAN BANGSA TERAS

Model Kerajaan BN yang membela semua agama dan kaum tanpa menghilangkan sebarang sifat keindukan bangsa dan agama teras Bumiputera dan Islam ternyata menjadi asas KESTABILAN dan KEHARHOMIAN negara.

Pembangunan ekonomi secara saksama tidak pernah menafikan hak mana-mana rakyat bahkan kekayaan dapat dinikmati hasil kestabilan yang dicapai. Ini dibuktikan dengan pengenalan klasifikasi T20, M40 dan B40 bagi mentransformasi bantuan dan agihan berdasarkan keperluan (Need Based Policy) dan tidak semata-mata berasaskan kaum.
Asas KESTABILAN dan KEHARMONIAN inilah yang merangsang pertumbuhan dan menggalakan pelaburan domestik dan dari luar negara kerana wujudnya KONSISTENSI, KEYAKINAN dan KEPERCAYAAN yang menjadi pra-syarat utama sesuatu keputusan untuk melabur atau tidak dalam sesebuah negara!

MARI KITA MULAKAN DISKUSI DASAR SECARA OBJEKTIF DAN KRITIS. Sebarang pandangan dialu-alukan. Apakah saudara/i setuju dengan pandangan ini?

Dr. Asyraf Wajdi Dusuki
Pengerusi Pemuda BN merangkap
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.