Impak COVID-19: Wujudkan Pelan Tindakan Khusus Bantu Wanita, Keluarga – Shahrizat

KUALA LUMPUR, 16 Feb – Mengambil kira impak COVID-19 terhadap kaum wanita yang merupakan antara golongan rentan terjejas akibat penularan pandemik itu di negara ini, satu Pelan Tindakan Khusus Untuk Wanita dan Keluarga Semasa Pandemik perlu dibangunkan segera.

Cadangan itu disuarakan bekas Menteri Wanita, Keluarga dan Masyarakat Tan Sri Shahrizat Jalil yang menyatakan pelan komprehensif khas berkenaan penting untuk survival kaum hawa – tulang belakang keluarga yang sering tersepit dalam mengimbangi keperluan kerjaya dan keluarga.

Mengambil iktibar daripada catatan Naib Presiden Amerika Syarikat (AS) Kamala Harris bertajuk ‘Opinion: Kamala Harris: The exodus of women from the workforce is a national emergency’ yang disiarkan menerusi @washingtonpost pada 13 Feb lepas, Shahrizat berkata inisiatif bagi membantu wanita di negara ini perlu lebih fokus.

“Wanita adalah antara golongan yang memerlukan bantuan semasa pandemik ini. Adakah kita (memiliki) pelan spesifik untuk wanita dalam masa pandemik ini. Dari segi ekonomi mereka. Kesihatan mereka. Keluarga mereka.

“Mereka memerlukan bantuan secara sistematik dalam isu ekonomi, kesihatan, pekerjaan dan lain-lain untuk survival semasa pandemik ini,” menurut bekas Ketua Wanita UMNO itu menerusi catatan di laman Instagramnya hari ini.

Kamala dalam artikel itu menyebut bahawa penghijrahan beramai-ramai wanita daripada sektor tenaga kerja di AS adalah satu darurat kebangsaan dan situasi tersebut perlu ditangani sebagaimana pemerintah menangani darurat kebangsaan.

Wanita pertama yang menyandang jawatan Naib Presiden itu berkata sejak pandemik tersebut mula melanda AS, kira-kira 2.5 juta wanita telah kehilangan pekerjaan atau dibuang kerja dan ketiadaan atau kekurangan pusat jagaan kanak-kanak dengan kos berpatutan menjadi faktor kritikal sehingga menyebabkan ramai ibu yang bekerja terpaksa membuat pilihan mengorbankan kerjaya demi untuk menjaga anak mereka.

“Saya gembira situasi darurat ini mendapat perhatian yang sewajarnya. Kita perlu membunyikan loceng kecemasan untuk para ibu yang bekerja, keluarga dan ekonomi kita kerana ekonomi kita tidak mampu pulih sepenuhnya melainkan wanita mengambil bahagian. Ini adalah satu krisis kebangsaan dan kita perlu bertindak sekarang,” katanya. – bnnewsonline

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit