Hotline i-Sinar: Tahniah Pemuda UMNO, Bukti UMNO Paling Terkehadapan Jaga Kebajikan Rakyat – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 16 Feb – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengucapkan tahniah kepada Pemuda UMNO yang secara konsisten memperjuangkan rakyat dalam isu skim i-Sinar Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Ini juga katanya, membuktikan UMNO adalah parti yang paling terkehadapan dalam menjaga kebajikan rakyat.

“Syabas diucapkan kepada Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki dan ahli Pemuda UMNO sekalian.

“Jika ada sebarang masalah dan kesulitan berhubung proses permohonan dan pembayaran, boleh adukan kepada mereka,” katanya dalam satu hantaran di Facebook petang ini.

Seterusnya, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berharap agar KWSP jangan memungkiri janji lagi.

“Mansuh tetap mansuh,” tegasnya.

Semalam, berhubung dengan kenyataan Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Aziz yang mengumumkan minggu lepas bahawa kerajaan akhirnya telah bersetuju untuk memansuhkan semua syarat dan kriteria bagi pengeluaran Akaun 1 KWSP i-Sinar, Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia akan tetap memantau aspek perlaksanaannya.

Bagi tujuan tersebut, Pemuda UMNO yang telah menubuhkan Hotline i-Sinar Pemuda UMNO pada penghujung November tahun lalu akan terus dibuka sehingga minggu hadapan bagi memantau skim i-Sinar KWSP membabitkan permohonan Kategori 2.

Menurut Dr Asyraf, sebarang isu dan kesulitan yang masih dialami oleh pencarum yang memohon boleh dikongsikan dengan pihaknya di talian 013-735 4116 dan 013-735 4117 untuk diangkat ke pihak berwajib.

Untuk rekod, UMNO dan BN secara konsisten memperjuangkan pengeluaran Skim i-Sinar tanpa syarat bagi membantu rakyat yang ketika ini yang amat terkesan dengan penularan pandemik COVID-19. – UMNO ONLINE

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit