UMNO Terengganu Terus Khidmat Untuk Rakyat, Sanitasi Dan Disinfeksi Tempat Awam

KUALA LUMPUR, 10 Feb – UMNO Terengganu boleh dikatakan melupakan soal politik seketika setelah berganding bahu dengan barisan kepimpinan setempat serta masyarakat lain dalam membantu beban petugas barisan hadapan dalam usaha mendepani penularan wabak COVID-19 di negeri berkenaan.

Biarpun kadangkala berdepan dengan segelintir sesetengah pihak yang tidak senang dengan usaha yang dilakukan, UMNO Terengganu terus ke depan membantu barisan hadapan dengan melakukan khidmat sanitasi secara sukarela di beberapa tempat terutama infrastruktur awam.

Menurut Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said, usaha telah diambil untuk melakukan khidmat sanitasi secara percuma di rumah ibadat, tadika, balai polis dan sebagainya lagi dalam usaha mencegah penularan wabak COVID-19.

“Syukur Alhamdulillah kepimpinan dan ahli UMNO di seluruh Bahagian Terengganu mengambil inisiatif melakukan khidmat sanitasi secara sukarela di tempat-tempat tumpuan ramai seperti sekolah, surau, masjid, rumah ibadat, tadika, balai polis dan beberapa lokasi lain.

“Usaha ini dilakukan bagi mencegah dan meminimumkan penularan COVID-19 di samping mengurangkan beban petugas barisan hadapan. Selain itu program ini sedikit sebanyak dapat meringankan tugas agensi kerajaan terlibat seperti Kementerian Kesihatan, Bomba dan Pihak Berkuasa Tempatan yang boleh memfokuskan Kawasan yang berisiko tinggi lain,” katanya menerusi catatan di facebook.

Ahmad Said seterusnya menjelaskan antara tempat yang menjadi tumpuan untuk disanitasi serta disinfeksi adalah sekolah-sekolah yang para pelajar akan menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) pada bulan ini dan Mac depan.

Katanya walaupun ada segelintir pihak yang kurang senang dengan kerja amal UMNO ia sedikit pun tidak akan mematahkan semangat ahli UMNO dan Skuad Sabil dalam menyumbang bakti kepada masyarakat.

“Insya-Allah kami ahli UMNO komited untuk terus membantu rakyat yang terkesan dan terjejas akibat wabak pendemik yang melanda ketika ini setakat termampu bagi memastikan kebajikan rakyat terbela,” ujarnya – UMNO Online

Oleh: Azman Abas

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.