Memoir Tommy Thomas: Kenapa Dap Membisu? Soal Puad

KUALA LUMPUR, 4 Feb – Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata banyak pihak mengecam buku memoir Tommy Thomas dan mereka mendakwa buku itu bertentangan dengan Seksyen 26 Akta Keterangan 1950.

Katanya, ada juga yang tuduh bekas peguam negara kerajaan Pakatan Harapan (PH) itu melanggar Akta Rahsia Rasmi (OSA) dan mahu beliau didakwa kerana selaku penasihat utama kerajaan terikat dengan kerahsiaan di bawah Artikel 145.

“Pada Tommy orang lain adalah dungu. Sebab itu dia dikecam teruk oleh Persatuan Pegawai Perkhidmatan Kehakiman (JALSOA). Bekas Peguam Cara III Datuk Hanafiah Zakaria pula telah buat laporan polis terhadap Tommy.

“Tetapi Dap satu-satunya pihak yang terus senyap sepi, bisu dan tidak beri komen. Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng juga tidak bersuara. Kenapa?

“Benarkah penerbit kepada buku memoir ini adalah think tank kepada Dap? Maka apa motif buku memoir tersebut yang penuh dengan fitnah?” soalnya dalam satu hantaran di Facebook.

Begitu juga katanya timbul persoalan apakah memoir ini ditulis ikut telunjuk pihak tertentu hingga menghina Allahyarham Tun Abdul Razak manakala Lim Guan Eng pula dianggap suci bersih.

“Hanya Gopal Sri Ram yang beriya-iya pertahankan Tommy. Bagi Gopal pendedahan dalam buku memoir itu tidak terikat kepada Seksyen 126 Akta Keterangan 1950.

“Seksyen 126 menyatakan tidak ada peguam yang diizinkan, kecuali dengan persetujuan anak guamnya, untuk dedah komunikasi yang diberi kepadanya ketika melaksana fungsinya sebagai peguam kepada anak guam itu,” tambah bekas Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas itu.

Dalam buku memoir itu kata Dr Puad, Tommy turut menghina keputusan Hakim Mahkamah Koroner mengenai pembunuhan Adib. Padanya keputusan itu adalah ‘absurd’.

“Sepatutnya Tommy didakwa kerana menghina keputusan Hakim Mahkamah Koroner. Dalam kes Arun Kasi, dia telah didakwa oleh Tommy kerana mengkritik penghakiman Mahkamah Persekutuan. Kenapa double standard?” tanyanya lagi.

Dr Puad juga berharap agar pasukan Peguam UMNO akan mengkaji buku memoir tersebut jika terdapat unsur fitnah dan penghinaan terhadap UMNO.

“Jika ada, UMNO wajar saman Tommy Thomas,” tegasnya. – UMNO ONLINE

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.