‘Kluster KWSP’ Makin Membimbangkan, Najib Kemuka Cadangan

KUALA LUMPUR, 1 Feb – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) digesa melaksanakan kaedah yang lebih selamat bagi mengurangkan risiko penularan COVID-19 kepada kakitangan dan pencarum semasa melakukan urusan di institusi berkenaan.

Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak berkata ini kerana penularan pandemik berkenaan di beberapa cawangan KWSP sangat membimbangkan.

“Pejabat KWSP Shah Alam pernah ditutup pada 4 Januari lalu setelah staff didapati positif COVID-19.

“Setelah dibuka semula selama 2 minggu, KWSP Shah Alam terpaksa ditutup sekali lagi semalam selepas beberapa lagi kakitangan cawangan tersebut didapati positif COVID-19,” katanya.

Tambah beliau, pada minggu lalu KWSP Lahad Datu juga diisytiharkan sebagai kluster Jalan Segama yang membabitkan kakitangan KWSP warga dengan kumulatif sebanyak 20 kes setakat 24 Januari.

“Dalam tempoh 1 bulan lepas sahaja, pejabat KWSP di Kota Kinabalu, Lahad Datu, Georgetown, Shah Alam (dua kali), Sibu dan Jalan Raja Laut Kuala Lumpur telah ditutup akibat staff KWSP dijangkit Covid.

“Pada zaman pandemik ini, sebenarnya ada cara mudah untuk mengelakkan risiko jangkitan COVID-19 dan memudahkan urusan rakyat supaya tidak perlu beratur panjang di pejabat-pejabat KWSP,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Beliau turut memberikan beberapa cadangan kepada KWSP bagi memudahkan pencarum berurusan dengan institusi berkenaan:

1. Bagi mereka yang tidak ada i-Akaun, KWSP boleh bekerjasama dengan bank-bank untuk menyediakan perkhidmatan memohon i-Akaun KWSP melalui rangkaian mesin pengeluarab wang (ATM) bank seluruh negara.

Bank-bank sudah ada butiran ahli KWSP seperti nombor MyKad (untuk dipadankan dengan nombor akaun KWSP) dan nombor telefon.

Kata laluan sekali guna untuk aktifkan i-Akaun bagi kali pertama boleh dipohon di ATM – sama ada dicetak atas slip ATM atau dihantar terus melalui SMS ke nombor henfon pemohon.

Proses ini tidak berbeza besar dengan permohonan untuk aktifkan permohonan internet banking buat kali pertama.

Perkhidmatan memohon password sekali guna juga boleh digunakan bagi mereka yang sudah ada i-Akaun tetapi terlupa password.

2. Setelah i-Akaun diaktifkan (dan setelah memansuhkan segala syarat@kriteria i-Sinar), ahli KWSP boleh memohon segala pengeluaran secara atas talian tanpa keperluan untuk menyerah apa-apa dokumen sokongan dan diberi kelulusan automatik untuk pengeluaran sehingga RM10,000 seorang selagi akaun 1 ada balance yang mencukupi.

3. Setelah diluluskan secara automatik, KWSP akan bayar pengeluaran tersebut terus kepada akaun bank atas nama pemohon sahaja.

Bekas perdana menteri itu juga turut menambah penggunaan teknologi maklumat sepatutnya digunapakai kerana ianya lebih mudah dan selamat.

“Bukan susah pun nak laksanakan dari segi teknologi, dasar atau proses. Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih,” ujarnya. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.