Misi Bantuan Pasca Banjir: KBS Salurkan Peruntukan Tambahan Kepada Majlis Belia Negeri Terlibat


KUALA LUMPUR, 27 Jan – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) telah menyediakan peruntukan tambahan sebanyak RM70,000 untuk disalurkan kepada Majlis Belia Negeri di Johor, Terengganu, Perak, Kelantan, Pahang dan Sabah bagi menjalan misi bantuan pasca banjir.

Menterinya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata inisiatif ini merupakan sebahagian daripada usaha Rakan Muda Prihatin yang dilancarkan pada 12 Januari lalu bagi membolehkan lebih ramai belia dapat turut sama membantu penduduk yang terkesan akibat musibah banjir yang melanda di negeri-negeri tersebut.

“Saya ucapkan terima kasih kepada gerakan belia di negeri-negeri yang diterajui oleh Majlis Belia Malaysia atas usaha proaktif yang sering diberikan untuk manfaat masyarakat.

“Saya juga berharap semua pihak dapat menjaga prosedur operasi standard (SOP) berkaitan COVID-19 supaya tidak ada penularan berlaku semasa misi dijalankan,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Kepala Batas dalam satu hantaran di Facebook.

Ulas Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO itu, beliau juga menzahirkan rasa simpati buat penduduk yang terjejas akibat dilanda bencana banjir.

“Ujian ini merupakan ujian yang sangat besar dan saya berharap semua yang terbabit dapat bersabar,” ujarnya. – UMNO ONLINE

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.