Bersama Bantu Presiden Dalam Agenda Kuatkan Parti – Wanita UMNO Perak

KUALA LUMPUR, 26 Jan – Pergerakan Wanita UMNO Negeri Perak menyeru ahli parti mendokong kepimpinan Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam agenda memperkuatkan parti menjelang Pilihan Raya Umum ke-15.

Ketuanya, Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin berkata keadaan ini selaras dengan saranan Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad yang mahukan fokus utama UMNO untuk membantu rakyat serta memperkukuhkan gerak kerja.

“Marilah kita sama-sama membantu Presiden UMNO menggalas tanggungjawab mencabar dalam memimpin parti dalam keadaan sekarang.

“Insya-Allah, kita mampu menguatkan UMNO dan Barisan Nasional (BN) untuk menghadapi PRU yang akan datang,” katanya menerusi satu kenyataan media.

Tambah beliau, tindakan sesetengah pihak yang mendesak Ahli Parlimen Bagan Datuk itu untuk meletakkan jawatan adalah tidakan yang tidak bertanggungawab.

Wan Norashikin yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri Kampung Gajah berkata pada waktu sebegini ahli-ahli parti di setiap lapisan sepatutnya memperkukuhkan penyatuan dan bukannya membuat tindakan yang boleh melemahkan parti.

“Presiden parti mendapat mandat dari majoriti ahli UMNO melalui pemilihan yang mengikut peraturan, maka sebarang ketidakpuasan hati terhadap kepimpinan presiden sebaiknya perlu melalui pemilihan parti juga.

“Sebarang perbezaan pandangan perlu diatasi secara bermusyawarah dan umpama air yang berkocak di dalam cawan tanpa melimpah keluar,” tegasnya. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.