Giatkan Kempen Kesedaran, Masyarakat Perlu Dididik Ilmu Pengurusan COVID-19 – Jalaluddin

KUALA LUMPUR, 23 Jan – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Jalaluddin Alias menyeru kepada pihak kerajaan selain daripada usaha barisan hadapan mengawal dan membendung wabak COVID-19, kempen kesedaran juga perlu dilaksanakan secara seiring.

Kata Ahli Parlimen Jelebu itu, masyarakat perlu dididik dan disedarkan tentang ilmu pengurusan COVID-19 secara menyeluruh sama ada dari aspek fizikal ataupun mental.

“Semua pihak di luar sana ada peranan masing-masing tidak kira kecil atau besar dalam pada kita berhadapan dengan keadaan genting ini.

“Dalam masa yang sama, kerajaan perlu lebih serius dalam menangani masalah tekanan perasaan di kalangan pesakit COVID-19 terutamanya mereka yang diarahkan menjalani kuarantin kendiri di rumah masing-masing.

“Kita masih punya ruang. Kita masih punya peluang. Kita mesti menang,” tegasnya dalam satu hantaran di Facebook.

Ulasnya juga, sebelum ini beliau telah beberapa kali membangkitkan berkenaan isu kesihatan mental di Dalam Dewan Rakyat.

“Isu ini bukan lagi isu terpencil, tapi telah jadi isu yang perlu diberi perhatian lebih, terutama dalam keadaan pandemik COVID-19 ini.

“Sebelum ini kita pernah dikejutkan dengan beberapa insiden cubaan bunuh diri, terjun bangunan oleh pesakit COVID-19. Dan kejadian terbaru yang berlaku di Seri Kembangan ini amatlah mendukacitakan.

“Salam takziah saya ucapkan kepada keluarga mangsa,” katanya.

Jelasnya lagi, ketika ini rakyat bukan sahaja tertekan dari segi ekonomi dan wang ringgit, tetapi juga tekanan dari segi mental, terutamanya jika mereka disahkan positif ataupun menjadi kontak rapat.

“Tambah memburukkan keadaan lagi, ada segelintir kelompok masyarakat kita yang melihat dan menggangap pesakit COVID-19 dan keluarga mereka seolah-olah penjenayah.

“Ada yang dipulau, ada yang diejek, bahkan ada kes majikan tidak membenarkan keluarga atau kontak rapat pesakit untuk datang bekerja walaupun telah tamat tempoh kuarantin mereka,” ujarnya. – UMNO ONLINE

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit