Saarani Rayu Rakyat Kekal Patuh SOP… Kekang Penularan COVID-19
KUALA LUMPUR, 22 Jan – Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad berharap rakyat akan kekal patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan untuk mengawal penularan COVID-19.
Ujarnya, kerjasama yang diberikan ini amat penting agar rantaian pandemik ini dapat diputuskan sekaligus memberikan peluang untuk rakyat menjalani kehidupan normal seperti sebelum ini.
“Saya merayu kepada semua supaya kita patuhi SOP yang ditetapkan. Hanya dengan menurunkan jumlah kes COVID-19, kita dapat memulihkan kehidupan rakyat dan mencergaskan semula ekonomi,” dalam satu hantaran di Facebook.
Ahli Dewan Undangan Negeri Kota Tampan itu juga mengingatkan agar menghargai pengorbanan barisan hadapan dan para petugas kesihatan serta keselamatan yang bertungkus lumus memutuskan rantaian COVID-19.
“Setidak-tidaknya, bantulah para ‘frontliners’ kita yang sedang bertungkus-lumus berperang melawan COVID-19. Hargai pengorbanan mereka dengan sama-sama memutuskan rantaian jangkitan.
“Justeru, saya merayu kepada rakan-rakan di luar sana supaya membantu mereka dengan mematuhi SOP yang ditetapkan.
“Jika kes menurun, maka beban tugas yang mereka pikul dapat sama-sama kita ringankan,” ujarnya lagi
Pada Selasa, Menteri Kanan (Keselamatan,) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan seluruh negara, kecuali Sarawak kini di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selepas kerajaan turut menguatkuasakan perintah itu di Perak, Kedah, Perlis, Negeri Sembilan, Pahang dan Terengganu mulai 22 Januari hingga 4 Februari depan.
Beliau berkata keputusan itu dibuat setelah terdapat peningkatan taburan kes positif COVID-19 dalam komuniti di negeri-negeri terbabit. – UMNO Online
Oleh: Nurul Saadah Latib